Ada tulisan di internet baru-baru ini yang menyatakan bahawa kad Touch n Go yang telah luput tempoh sah adalah satu bentuk penipuan, dan ia menghalang sistem pembayaran daripada menjadi lebih maju, seterusnya membantu mengurangkan kesesakan dan rumah tol. Dalam tulisan yang sama, ia menyatakan bahawa syarikat konsesi lebuhraya PLUS dan penyedia pembayaran Touch n Go bekerjasama dalam mengoperasikan sistem pembayaran yang kuno dan monopoli.
Tetapi adakah PLUS benar-benar bertanggungjawab terhadap Touch n Go? Mari kita selidik dengan lebih mendalam.
Siapa pemilik Touch n Go dan PLUS?
Touch n Go (TNG) kini dimiliki sepenuhnya oleh kumpulan CIMB. Manakala TNG Digital Sdn Bhd, syarikat yang mengoperasikan TNG eWallet pula, adalah syarikat kerjasama antara TNG dan ANT Group dari China. Selain itu, ia juga dilabur oleh beberapa syarikat seperti AIA Malaysia, Bow Wave Capital Management (menerusi ASP Malaysia LP) dan Lazada.
PLUS pula, konsesi lebuhraya diuruskan oleh syarikat Lebuhraya Utara-Selatan yang dimiliki oleh Khazanah Nasional melalui UEM Group sebanyak 51%, serta 49% oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). PLUS pernah memiliki 20% saham di TNG tetapi telah dibeli oleh CIMB pada Oktober 2019.
Satu-satunya hubungan antara kedua-dua syarikat adalah Khazanah, yang memiliki 24.7% saham di kumpulan CIMB dan 51% di PLUS menerusi UEM. Ini tidak mengejutkan kerana Khazanah adalah syarikat pelaburan dana kerajaan dan memiliki pegangan dan saham di pelbagai syarikat termasuk Astro, Axiata, Telekom Malaysia, Time, Farm Fresh, Bank Muamalat, Malaysia Airlines, Malaysia Airports dan Tenaga Nasional.
TNG adalah penyedia pembayar elektronik tunggal untuk tol di Malaysia
PLUS telah menerangkan bahawa ia tidak memiliki sebarang saham di dalam Touch n Go Sdn Bhd. PLUS menambah, industri ini diselia dengan ketat oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). PLUS dan konsesi lebuhraya lain tertakluk di bawah perundangan dan kawal selia yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
PLUS juga menyatakan bahahwa TNG adalah satu-satunya sistem pembayaran elektronik untuk kutipan tol yang dibenarkan kerajaan di dalam negara dan turut bertanggungjawab terhadap kad Touch n Go. Oleh itu, sebarang isu dan luputnya tempoh sah kad tersebut tidak berada di dalam tanggungjawab PLUS. Malah, tag RFID TNG kini serta TNG eWallet adalah produk di bawah kumpulan Touch n Go, bukannya PLUS.
PLUS pernah perkenal RFID bersambung ke kad kredit tetapi dihalang CIMB di mahkamah
Jika anda tidak tahu, PLUS pernah memperkenal sistem RFID sendiri pada tahun 2018 dengan sistem pembayaran terbuka. Ia tidak terikat kepada satu dompet elektronik, tetapi pembayarannya boleh dihubungkan terus ke mana-mana kad Visa atau Mastercard.
Ujian rintis PLUS RFID telah diadakan di Jambatan Pulau Pinang dan PLUS memberikan 10,000 tag RFID percuma. Pada waktu itu, ia dilihat sebagai satu kemajuan kerana pengguna diberi kebebasan untuk memilih jenis pembayaran dan tidak perlu menambah nilai ke dalam dompet.
Tidak lama selepas itu, CIMB jelas tidak gembira dan membawa PLUS ke mahkamah. CIMB mendakwa, PLUS telah melanggar perjanjian bersama mengenai kuitpa pembayaran tol yang telah ditandatangani 20 tahun lepas. CIMB telah menghantar notis timbang tara kepada PLUS dan memohon injunksi untuk menghalan PLUS dari meneruskan sistem PLUS RFID termasuk kerosakan, faedah dan kos.
Pada mulanya, PLUS menolak sebarang pelanggaran perjanjian dan percaya bahawa ujian rintis PLUS RFID menggalakkan pilihan kepada rakyat kerana menawarkan alternatif dan kemudahan untuk pelanggan melalui kad debit dan kredit. PLUS menambah lagi bahawa PLUS RFID adalah tambahan kepada sistem pembayaran sedia ada iaitu eWallet dan sistem prabayar oleh Touch n Go.
CIMB sepatutnya perkenal sistem pembayaran terbuka untuk RFID
Tetapi akhirnya, PLUS dan CIMB bersetuju untuk berdamai dan menyokong TNG RFID di lebuhraya PLUS. Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, CIMB dan TNG akan memperkenal sistem pembayaran terbuka di mana pengguna boleh memilih untuk menghubungkan tag RFID ke beberapa pembayaran tanpa tunai seperti akaun bank, kad debit dan kredit.
Bekas CEO Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul berkata, “Kami sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan PLUS untuk menerajui inisiatif penting ini. Pendemokrasian dalam pembayaran tol adalah sesuatu yang kami perjuangkan sepenuhnya dan pasukan CIMB, bersama-sama dengan pasukan di anak syarikat kami TNG, komited untuk bekerjasama dengan PLUS dan, pada masanya, syarikat konsesi lebuh raya lain untuk menjadikan pembayaran terbuka sebagai realiti yang boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.”
Manakala Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Transaksi RFID akan menjadi masa nyata, kerana pelanggan lebuh raya kami akan menerima pemberitahuan segera mengenai baki mereka dan CIMB—TNG telah memberikan komitmen mereka kepada standard penyampaian perkhidmatan yang tinggi ini.”
Pada asalnya, pelan untuk membenarkan eWallet lain serta kad debit dan kredit akan dilaksanakan pada akhir 2019. Tetapi kini menjelang akhir 2022, Touch n Go masih kekal sebagai satu-satunya saluran pembayaran yang dibenarkan kerajaan untuk kutipan tol.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini menjelaskan semula bahawa pelaksanaan Sistem Aliran Bebas Berbilang Laluan (Multi-Lane Free Flow, MLFF) akan dilaksanakan pada tahun 2025. Ini akan membolehkan pengguna lebuhraya untuk membayar tol secara elektronik tanpa perlu memperlahankan kenderaan di plaza tol atau palang. Selain menghentikan penggunaan kad TNG dan SmartTAG secara berperingkat, kerajaan perlu menyelesaikan beberapa isu lain termasuk membenarkan lebih banyak pilihan pembayaran dan kawal selia serta undang-undang yang ketat untuk menguruskan penipuan dan mereka yang lari daripada membayar tol.
[Sumber: SoyaCincau]