Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pagi ini telah berkongsi satu perkara yang pastinya sangat menggembirakan ramai pengguna. Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kini dalam perbincangan dengan syarikat telekomunikasi (telco) bagi menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.
Bercakap dalam slot program ALFA yang bersiaran di Facebook Nasional FM pagi tadi bersama Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud, Fahmi berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telco melakukan kajian bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan perkhidmatan telekomunikasi lebih murah.
“Saya sedang bincang dengan SKMM dan telco apa yang boleh kita buat untuk kurangkan kos. Ramai anak muda harapkan harga internet dan talian lebih murah, jadi saya minta mereka kaji apa yang kita boleh lakukan sekarang.”
“Kita sedang bercakap tentang 5G, ada negara lain dah mula bincang tentang 6G. Jadi kita kena ada pergerakan yang lebih cepat dan sebagai menteri saya kena teliti apa yang boleh dilakukan untuk bantu proses itu,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata, beliau juga sedang meneliti langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengatasi isu capaian rangkaian 4G dan 5G yang dihadapi di sesetengah kawasan di negara ini.
Sebelum ini, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh dilihat telah berjaya menurunkan harga jalur lebar di Malaysia dan meningkatkan kelajuannya. Contohnya pada tahun 2017, pelan Unifi 10Mbps berharga RM129/bulan, manakala 30Mbps berharga RM199/bulan. Pelan 100Mbps pula dikenakan RM329/bulan.
Tetapi selepas pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) pada tahun 2019, harga jalur lebar telah turun mendadak. Kini Unifi 30Mbps hanya RM89/bulan, 100Mbps RM129/bulan dan pelan terpantas 800Mbps cuma RM299/bulan.
Apakah langkah yang akan diambil oleh telco dan SKMM untuk menurunkan lagi harga internet, terutama sekali jalur lebar mudah alih berkaitna 4G dan 5G? Moga ada berita baik untuk rakyat Malaysia tidak lama lagi.
[Sumber: Bernama]