Pada hari Rabu lepas, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil telah mengumumkan tentang Pakej Perpaduan. Pakej ini menyediakan pelan internet yang murah untuk belia, B40, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan veteran.
Pelanggan Pakej Perpaduan akan menerima 30GB data yang sah selama 6 bulan, pada harga RM30 sahaja. Ini bersamaan dengan RM1 untuk 1GB tetapi tempoh sah 6 kali lebih panjang. Beliau juga menekankan, Pakej Perpaduan yang menggantikan Pakej Remaja Keluarga Malaysia (PRKM), menawarkan separuh harga dan kelajuan tiga kali ganda.
Tetapi ada kesilapan besar dalam kenyataan ini. Walaupun ia disasarkan untuk mengurangkan kos sara hidup, tawaran ini juga dilihat sukar mencapai tujuannya.
Pakej Perpaduan sebenarnya lebih perlahan
PRKM telah dilancarkan oleh bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada bulan September 2021. Bagaimanapun, pelan ini tidak mempunyai sebarang sekatan kelajuan. Malah dijelaskan bahawa ia adalah internet berkelajuan tinggi.
Perkara ini boleh disemak dengan mudah dalam pengumuman sebelum ini. Tidak dinyatakan langsung adanya sekatan kelajuan 1Mbps. Malah, dari laman web empat syarikat telekomunikasi utama, semuanya menunjukkan kuota 20GB ini berkelajuan tinggi, pantas dan tanpa sekatan untuk semua kegunaan.
Apabila Pakej Perpaduan diumumkan ada sekatan kelajuan 3Mbps, bermakna kelajuannya semakin perlahan. Bukan tiga kali lebih pantas.
Pengguna biasa pastinya guna lebih 5GB sebulan
Dengan kuota 30GB untuk 6 bulan, bermakna secara purata ia menyediakan 5GB data setiap bulan pada harga RM5/bulan. Harga ini sememangnya 50% lebih murah daripada PRKM tetapi, siapa yang masih menggunakan hanya 5GB data sebulan?
Jika melihat kepada pengguna remaja dan B40, kebanyakannya bergantung kepada data mudah alih sebagai hubungan internet utama mereka. Mereka ini tidak melanggan jalur lebar tetap kerana pelbagai sebab dan internet mudah alih adalah penggunaan utama di dalam dan luar rumah. Kerana ini juga, Malaysia merupakan pengguna data mudah alih antara tertinggi di dunia.
Menurut laporan OpenSignal, Malaysia mencatat pertumbuhan penggunaan data tertinggi antara 5 negara ASEAN, antara tahun 2020 dan 2021. Celcom pula menyatakan baru-baru ini, penggunaan data purata oleh pengguna mereka meningkat dari 14.9GB pada Q1 2020, kepada 26.2GB pada Q3 2022.
Dapat dilihat, pelan prabayar tanpa had menjadi sangat poopular kebelakangan ini, terutama dengan munculnya media sosial berasaskan video pendek seperti TikTok. Ada juga pengguna yang kami tahu, menggunakan lebih 300GB data sebulan dan ini menjadi alasan untuk telco mengenakan FUP untuk data mudah alih.
Jika sasaran utama adalah mengurangkan kos, kenapa kerajaan tidak menawarkan 30GB data tanpa sekatan kelajuan pada harga RM15/bulan? Lagipun, kebanyakan telco sudah menawarkan 1GB data pada RM1 atau kurang sekarang.
Fokus sebenar sepatutnya pada jalur lebar tetap
Menurunkan harga sahaja sebenarnya tidak baik untuk jangka masa panjang. Apa guna pelan murah jika pengguna tidak dapat menikmati kelajuan selesa dan akses ke liputan berkualiti? Kerajaan seharusnya mesti meningkatkan pengalaman internet secara keseluruhan dan salah satu darinya adalah meningkatkan penggunaan jalur lebar tetap.
Menurut laporan JENDELA, jalur lebar tetap di Malaysia telah mencapai 7.44 juta premis, iaitu 50% lebih banyak daripada sebelum JENDELA dimulakan di Malaysia pada Ogos 202. Tetapi jumlah premis yang menggunakannya bukan bermakna, premis atau rumah tersebut bersambung ke jalur lebar.
Telekom Malaysia (TM) sebagai pemain jalur lebar tetap terbesar di Malaysia, memiliki hanya 2.98 juta pelanggan jalur lebar tetap pada Q3 2022. Ini tidak sampai separuh dari apa yang dilaporkan JENDELA. Semua tahu bahawa jalur lebar tetap membeir sambungan internet lebih baik dan berkualiti berbanding talian mudah alih, tetapi kenapa masih tidak ramai menggunakannya?
Adakah kerana ramai pengguna tinggal di rumah sewa dan susah untuk terikat dengan kontrak 24-bulan? Mungkin juga kerana bayaran penalti berhenti sebelum tamat kontrak yang melampau mahal untuk B40.
Tahun 2021, kami menemui terdapat penyedia jalur lebar tetap yang mengubah terma dan syarat mereka untuk pengguna berhenti melanggan sebelum tamat kontrak. Antaranya, pengguna perlu membayar baki bulan kontrak yang tinggal sepenuhnya. Apabila kami merujuk kepada SKMM tentang kelakuan ini, mereka menyatakan bahawa ia adalah tanggungjawab pengguna memahami terma dan syarat.
Sepatutnya, kerajaan memeriksa semula terma dan syarat yang berat sebelah dan tidak bertamadun ini, jika mahu lebih ramai menggunakan jalur lebar tetap.Selain itu, harga jalur lebar tetap yang masih mahal menyebabkan keluarga B40 masih tidak melanggannya. Kerajaan boleh memperkenal pelan yang lebih murah dan kontrak lebih pendek.
Antaranya pelan berharga RM50 ke RM80 dengan kelajuan 20Mbps. Untuk lebih nilai, ia boleh digandingkan dengan pelan mudah alih, seperti apa yang Webe pernah perkenal menerusi Nex.Life. Pelan tersebut memiliki kontrak hanya 12-bulan dan datang dengan langganan jalur lebar tetap 30Mbps dan talian mudah alih 4G tanpa had hanya RM100 sebulan.
Semoga YB Menteri KKD boleh menilai tentang cadangan ini untuk dimasukkan dalam khabar gembira untuk pengguna jalur lebar tetap tidak lama lagi.
[Sumber: SoyaCincau]