Baju kebaya yang diperagakan oleh kakitangan Malaysia Airlines (MAS) tidak kira di daratan mahupun dalam pesawat di udara, telah menjadi simbol ikonik buat syarikat penerbangan kemegahan Malaysia. Seragam yang dihiasi rekaan bunga kemboja, melur dan daun bunga raya dengan warna biru dan ungu ini, turut menjadi lambang kebanggaan Malaysia di luar negara.
Tahukah anda, rekaan dan warna baju kebaya yang menjadi seragam MAS telah digunakan sejak tahun 1993? Ia telah dipilih pada tahun 1 Mac 1986 dan direka oleh pelajar fesyen dari Fakulti Fesyen, Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara, UiTM). Sewaktu itu, ia datang dalam pelbagai warna sebelum ditetapkan pada warna yang digunakan sekarang.
Tetapi pakaian seragam ini mungkin akan berubah tidak lama lagi. Ia berikutan borang kajian yang diutuskan oleh emel Malaysia Airlines kepada penggunanya baru-baru ini.
Menurut surat tersebut, MAS berhasrat untuk membawa pembaharuan kepada seragam pramugari mereka untuk menjadi lebih inklusif sambil mengekalkan gaya anggun dan klasik MAS. Untuk itu, MAS mahu mendapatkan pandangan dan pendapat orang ramai mengenainya.
Dalam tinjauan tersebut, antara soalan yang ditanya adalah, adakah anda berpendapat MAS patut memberikan sentuhan lebih sederhana kepada kebaya yang menjadi ikon seragam MAS?
Soalan seterusnya yang lebih menarik, adakah anda lebih suka jika MAS membuat perubahan kepada rekaan kebaya sekarang, supaya kakitangan wanita boleh memilih untuk memakai hijab apabila bertugas di dalam penerbangan domestik dan antarabangsa?
Kebenaran memakai tudung untuk pramugari MAS sudah sekian lama diperjuang oleh beberapa ahli parlimen, terutama daripada PAS. Dalam pemerintahan Perdana Menteri ke-8, Menteri Pengangkutan pada waktu itu, Anthony Loke pernah menyatakan perkara ini tertakluk kepada MAS dan tertakluk peraturan keselamatan yang ditetapkan. Tetapi jika merasakan ia menjolok mata, lebih baik untuk mengelakkan pandangan dari melihatnya.
Memberi kebebasan kepada kakitangan untuk memilih pakaian seragam patut diberi pujian. Semoga MAS kekal menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat Malaysia khususnya dan warga antarabangsa secara umum. Terasa seperti sudah berada di kampung, setiap kali masuk ke pesawat MAS dan disapa pramugari dengan ucapan “Selamat Pulang Rakyat Malaysia”.
Bacaan Berkaitan
- Pesawat MAS 737-800 NG diperbaharui, skrin IFE dibuang dan kerusi ditukar lebih nipis
- Jangan dedah tiket pesawat di media sosial! Orang lain boleh batalkan penerbangan anda
- MHflyPass ASEAN, pas terbang murah Malaysia Airlines di Asia Tenggara tanpa sekatan tarikh dan pelbagai keutamaan
- MAVCOM: Lebih separuh aduan berkaitan syarikat penerbangan untuk separuh pertama 2022 adalah tentang AirAsia