Kecewa bila menerima khabar bahawa telefon pintar Nokia yang dinantikan beberapa hari lepas bukanlah Nokia 9, sebaliknya ia adalah versi lebih besar dari model sedia ada, iaitu Nokia 5.1 Plus dan Nokia 6.1 Plus.
Majlis pelancaran Nokia 5.1 Plus dan Nokia 6.1 Plus telah dibuat di India. Sebenarnya, kedua-dua telefon pintar ini adalah dari siri-X yang telah dilancarkan lebih awal di China.
Nokia 5.1 Plus
Serba serbi lebih dari Nokia 5.1 adalah apa yang terdapat pada Nokia 5.1 Plus. CPU lebih baik, RAM lebih banyak, storan lebih besar, skrin lebih luas dan bateri terlebih sedikit, memang sesuai untuk tambahan nama Plus padanya.
Cip pemprosesnya menggunakan Mediatek Helio P60, dengan RAM ditetapkan pada 3GB dan storan 32GB. Kad mikroSD diterima sehingga 400GB. Baterinya 3060 mAh dan dicas melalui USB-C.
Badannya menggunakan kaca melengkung 2.5D di depan dan belakang. Skrinnya sebesar 5.86-inci, bertakuk di dahi, dengan resolusi HD+ sahaja dalam nisbah 19:9.
Kamera belakangnya dwi-lensa, gabungan sensor 13MP F2.0 dan 5MP yang dikuasakan AI. Kamera hadapan pula 8MP F2.2. Pengimbas capjari terdapat di belakang, di bawah kamera belakang.
Seperti peranti Nokia yang lain, Nokia 5.1 Plus termasuk dalam keluarga Android One tetapi masih menjalankan Android 8.1 Oreo. Ia dijanjikan kemaskini sistem sehingga 2 tahun, termasuk Android 9.0 Pie yang baru dilancarkan.
Harga Nokia 5.1 Plus akan diumumkan pada bulan September. Untuk perbandingan, Nokia X5 di China telah dijual pada harga RMB999 (~RM597) bagi model 3GB RAM dan 32GB storan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman Nokia 5.1 Plus.
Nokia 6.1 Plus
Nombor lebih besar menandakan Nokia 6.1 Plus adalah peranti yang lebih baik dari Nokia 5.1 Plus. Malah, ia boleh dikatakan akan bersaing rapat dengan Redmi Note 5 serta ASUS Zenfone Max Pro M1.
Ini kerana Nokia 6.1 Plus dikuasakan cip pemproses Snapdragon 636, RAM LPDDR4x sebanyak 4GB dan storan dalaman 64GB. Storan mikroSD sedia diterima sehingga 400GB. Tetapi sehingga ini persamaannya dengan Redmi Note5 dan Zenfone Max Pro.
Skrin Nokia 6.1 Plus lebih kecil, bersaiz 5.8-inci tetapi dengan resolusi HD Penuh+, bertakuk di dahi dan dalam nisbah 19:9. Bateri pula hanya 3,060mAh yang dicas melalui USB-C. Ia turut memiliki port audio 3.5mm sdan juga pengimbas capjari di belakang.
Kameranya dwi-lensa di belakang, menggabungkan lensa 16MP F2.0 berkuasa EIS bersama lensa 5MP F2.4. Untuk kamera hadapan, hanya satu lensa 16MP F2.0. Telefon ini menyokong rakaman video bothie yang menggunakan kamera belakang dan depan serentak.
Nokia 6.1 Plus menjalankan Android 8.1 Oreo sekarang, tetapi dijanjikan kemaskini Android selama 2 tahun melalui program Android One. Ia juga akan menerima kemaskini Android 9.0 Pie tidak lama lagi. Dapatkan maklumat lanjut di laman Nokia 6.1 Plus.
Harga Nokia 6.1 Plus telah diumumkan di India sebanyak Rs 15,999 (~RM937), kelihatan boleh bersaing di kelas peranti pertengahan di bawah RM1,000. Tetapi untuk spesifikasi yang sama, Redmi Note 5 kini berharga RM869 manakala ASUS Zenfone Max Pro M1 pula berharga RM849.
Nokia Malaysia kelihatan konsisten membawakan hampir semua model telefon pintar Nokia ke Malaysia. Adakah Nokia 5.1 Plus dan Nokia 6.1 Plus akan dibawa masuk ke Malaysia? Terutama untuk Nokia 6.1 Plus yang boleh bersaing dalam kategori panas peranti di bawah RM1,000.
Adakah Nokia 6.1 Plus boleh menyaingi Redmi Note 5 serta ASUS Zenfone Max Pro M1 terutama untuk peminat games mudah alih seperti Mobile Legends dan PUBG? Nampak agak sukar tetapi mungkin Nokia ada kelebihan yang tidak kelihatan di atas kertas.