Twitter baru-baru ini telah mengutuskan satu kemaskini terhadap laporan ketelusan untuk separuh pertama tahun 2022 (H1 2022). Di laman blog Twitter, Twitter berkongsikan data bagi tindakan yang telah diambil kepada pengguna yang melanggar peraturan dari 1 Januari hingga 30 Jun 2022. Twitter menyatakan, bagi tempoh ini, mereka tidak akan menerbitkan laporan ketelusan secara rasmi seperti yang dilakukan untuk tahun sebelumnya.
Mengikut data yang dikongsikan di laman blog tersebut, Twitter mengarahkan pengguna untuk memadam sebanyak 6.5 juta kandungan yang didapati melanggar Peraturan Twitter, iaitu peningkatan 29 peratus dari H2 2021. Twitter juga telah mengambil tindakan ke atas 5 juta akaun, iaitu peningkatan 20 peratus dan menggantung 1.6 juta akaun kerana melanggar peraturan Twitter. Penggantungan akaun ini merupakan peningkatan sebanyak 28 peratus.
Berikut adalah tindakan yang diambil oleh Twitter terhadap akaun dan kandungan yang melanggar Peraturan Twitter.
Berdasarkan jadual tersebut, nampaknya polisi yang sering dilanggar oleh pengguna Twitter adalah ‘Media Sensitif’ dengan 2.8 juta tindakan telah diambil. Seterusnya, polisi lain yang sering dilanggar adalah ‘Kelakuan Membenci’ dan ‘Penderaan/Gangguan’ dengan masing-masing menjumlahkan 2.7 juta tindakan diambil.
Selain menerima laporan mengenai pelanggaran polisi, Twitter juga menerima kira-kira 53 ribu permintaan undang-undang daripada kerajaan untuk memadam kandungan. Permintaan paling banyak adalah dari negara Jepun, Korea Selatan, Turki dan India. Bukan itu sahaja, Twitter menerima lebih 16 ribu permintaan maklumat berkaitan data pengguna daripada kerajaan dari lebih 85 buah negara. Negara yang tertinggi dalam meminta maklumat data pengguna adalah India, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun dan Jerman.
Dalam pada itu, Twitter mengatakan mereka berhasrat untuk berkongsi lebih lanjut tentang hala tuju laporan ketelusan pada hujung tahun ini, dan akan terus memberi pencerahan tentang usaha Twitter untuk mempromosikan perbualan yang menghiburkan, bermaklumat dan sihat di platform Twitter.
[Sumber: Twitter]