Xiaomi Malaysia melengkapkan keluarga Xiaomi 13 apabila melancarkan Xiaomi 13 Ultra hari ini. Ia merupakan kesinambugnan kerjasama Xiaomi dan Leica untuk menghasilkan kamera berprestasi tinggi di telefon pintar.
Ketibaan Xiaomi 13 Ultra ini menjadikan harga telefon Xiaomi lebih tinggi. Jika Xiaomi 13 Pro dilancar pada Februari dahulu memiliki tanda harga setinggi RM4,999, versi Ultra ini telah memecah sempadan RM5,000. Tidak hairanlah apabila Xiaomi menjemput duta Leica iaitu Sadiq Asyraf, seorang jurukamera profesional untuk berkongsi kepakarannya tentang Leica di majlis pelancaran.
Harga dan Promosi Tempahan Awal
Jika ada yang berminat untuk mendapatkan Xiaomi 13 Ultra seawal mungkin, anda boleh membuat tempahan awal yang akan dibuka mulai 23 hingga 29 Jun 2023 di Xiaomi Authories Store. Hadiah percuma bernilai RM619 menanti pembeli tempahan awal tetapi sebelum itu, semak dulu harga rasminya:
- Xiaomi 13 Ultra (RAM 12GB + Storan 512GB) – RM5,199
Tempahan awal antara 23-29 Jun akan menerima hadiah percuma berupa:
- Xiaomi Instant Photo Printer 1S (bernilai RM619)
- 6 bulan Google One 100GB (bernilai RM53.40)
- 1+1 jaminan lanjutan (bernilai RM499)
Harga ini RM200 lebih mahal berbanding Xiaomi 13 Pro, dengan perkakas yang hampir serupa termasuk kamera Leica. Tetapi malangnya, tawaran tempahan awal Xiaomi 13 Ultra tidak sebaik Xiaomi 13 Pro dahulu, yang memberikan antaranya TV LCD 58″, jam pintar Watch S1 Pro dan fon telinga Buds 4 Pro.
Spesifikasi Xiaomi 13 Ultra
Sedikit sebanyak, Xiaomi 13 Ultra dan Xiaomi 13 Pro berkongsi banyak perkara yang serupa. Contohnya, prestasi tertinggi digerakkan oleh pemproses Snapdragon 8 Gen 2, bersama RAM LPDDR5X sebanyak 12GB dan storan dalaman UFS 4.0 seluas 512GB.
Skrin yang digunakan juga sama, jenis AMOLED 6.73-inci WQHD, dengan kadar penyegaran adaptif 1-120Hz dan dilapisi kaca Corning Gorilla Galass Victus. Tetapi versi Ultra memiliki kecerahan lebih tinggi iaitu sehingga 2,600 nits, berbanding 1,900 nits di Xiaomi 13 Pro.
Kamera hadapannya tiada jenama Leica, menggunakan sensor 32MP F2.0 yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin dan telefon ini kalis air dan debu IP68.
Bercerita tentang kamera Leica pula, terdapat empat kamera belakang 50MP yang diperakui dengan cap LEICA VARIO SUMMICRON 1:18-3.0/12-120 terdapat di Xiaomi 13 Ultra, berbanding hanya tiga di Xiaomi 13 Pro. Kamera tersebut adalah:
- Kamera utama 50MP dwi-apertur (F1.9/4.0) IMX989 1″ HyperOIS 23mm
- Kamera ultralebar 50MP F1.8 IMX858 12mm
- Kamera telefoto 50MP F1.8 IMX858 OIS 75mm
- Kamera super-telefoto 50MP F3.0 IMX858 OIS 120mm
Kamera ini dilengkapkan dengan pelbagai fungsi berkaitan Leica, sepeti dua pilihan gaya fotografi antara Leica Authentic dan Leica Vibrant serta lima penapis Leica iaitu Leica Sepia, Leica Blue, Leica Vivid, Leica Natural, Leica BW Natural dan Leica BW High Contrast.
Tenaga pula disalurkan daripada bateri berkapasiti 5,000mAh. Ia boleh dicas menerusi sambungan USB-C dengan kuasa sehingga 90W, serta wayarles sekuat 50W. Sistem bunyi stereo turut dipasang dan menyokong teknologi Dolby Atmos.
Bagi melengkapkan pengalaman seakan kamera Leica, kemasan bertekstur kulit digunakan sebagai bahan di belakang badan Xiaomi 13 Ultra. Terdapat dua pilihan warna disediakan untuk pasaran Malaysia iaitu Hitam dan Hijau.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Xiaomi 13 Ultra.
Bacaan Berkaitan
- Xiaomi Malaysia pilih 20 Jun 2023 untuk bawa masuk Xiaomi 13 Ultra
- DXOMark letak Xiaomi 13 Ultra di tangga ke-14, dibelakang iPhone 13 Pro
- Xiaomi 13 Ultra berteknologi Leica diumum di China dengan empat kamera 50MP
- Xiaomi 13 & Xiaomi 13 Pro: Semua perkara yang perlu anda tahu tentangnya
- Xiaomi 13 & Xiaomi 13 Pro: Maklumat penjualannya di Malaysia