Penipuan siber pantas berubah, kerana itu penting untuk kita semua sentiasa bersedia dengan berita terkini. Kini ada taktik baru sedang tersebar iaitu virus/malware yang menyamar sebagai kad kahwin digital.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mengakui scammer akan pergunakan pelbagai cara untuk ‘memancing’ mangsa. “Satu daripada kaedahnya adalah dengan menghubungi semua kenalan seseorang atas alasan undangan ke majlis perkahwinan. Justeru, elakkan klik sembarangan sebelum mengesahkan dengan individu yang mengundang tersebut,” katanya kepada Kosmo.
Penipuan terbaru ini aplikasi malware dalam bentuk APK dan dinamakan sebagai Jemputan Majlis Perkahwinan. Scammer akan menyamar sebagai kenalan atau rakan mangsa, dan meminta mangsa untuk muat turun APK tersebut.
Apabila APK tersebut dimuat turun dan dipasang ke dalam peranti, scammer akan dapat mengakses penuh phone mangsa tanpa disedari. Perkara ini sangat merbahaya terutama untuk warga tua dan mereka yang kurang celik IT kerana tidak mengetahui ia tidak sepatutnya dilakukan.
Sebagai langkah berjaga-jaga paling asas, elakkan dari membuka sebarang pautan yang tidak diketahui kesahihannya, atau dari mereka yang tidak dikenali. Jangan pasang sebarang aplikasi atau APK daripada luar gedung rasmi Google Playstore atau Apple Appstore.
Jika anda merasakan telah ditipu dan memberikan wang kepada scammer, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam masa 24 jam, supaya aliran wang tersebut boleh disekat. Dengan melaporkan penipuan kepada NSRC, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak terlibat, boleh bertindak untuk menyekat aliran wang dengan segera.
WhatsApp baru-baru ini telah memperkenal fungsi baharu, “Silence Unknown Caller“. Pengguna digalakkan untuk mengaktifkannya dengan segera, kerana ia tidak akan memaklumkan pengguna jika ada panggilan daripada orang yang bukan kenalan. Dengan cara ini, pengguna tidak akan diganggu dengan sebarang panggilan terutama dari scammer dan terelak dari ditipu kerana menjawab panggilan scammer.
[Sumber: Kosmo]