Supercar biasanya memiliki hanya 2 kerusi untuk menjadikan kereta lebih kecil dan lebih laju. Tetapi Koenigsegg melangkaui batas ini dengan melancarkan Gemera, kenderaan yang mereka gelar sebagai Megacar yang lengkap dengan 4 kerusi serta enjin elektrik paling berkuasa di dunia.
Koenigsegg Gemera pertama kali diumum konsepnya pada tahun 2023 dan kini ia telah rasmi dilancarkan dan sedia menerima tempahan. Bagaimanapun, hanya 300 unit akan dihasilkan.
Megacar keluaran Koenigsegg ini akan terdapat dalam beberapa pilihan kuasa enjin. Pada awalnya, ia diumum akan menggunakan tiga silinder “twin-turbo” 2.0L yang menghasilkan kuasa 600hp dan tor 600nm.
Sewaktu kajian dan pembangunan Gemera berjalan, jurutera Koenigsegg telah berjaya membangunkan motor elektrik yang digelar “Dark Matter” yang mampu menghasilkan kuasa 800hp dan tork 1,250Nm. Ia juga adalah enjin elektrik paling berkuasa di dunia dihasilkan untuk kenderaan sedia guna.
Menggabungkan kedua-dua enjin ini ke dalam Koenigsegg Gemera ini menjadikan kuasa pengeluarannya berjumlah 1,400hp dan tork 1,850Nm. Enjin ini akan dibantu dengan bateri 850V 14kWh.
Tetapi Koenigsegg tidak berhenti setakat itu. Mereka turut menawarkan alternatif kepada enjin tiga silinder 2.0L kepada enjin V8 5.0L yang digunakan di dalam Koenigsegg Jesko. Enjin V8 ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 1,500Hp dan tork 1,500Nm dan apabila digandingkan dengan enjin elektrik Dark Matter, ia memberi kuasa berjumlah 2,300Hp dan tork 2,750Nm.
Apa yang menjadikan kejuruteraan Koenigsegg lebih hebat apabila mereka dapat memuatkan empat tempat duduk di dalam Gemera, lengkap dengan but sebesar 200 liter yang boleh memuatkan empat beg bagasi kecil. Di samping itu, Gemera juga memiliki tangki minyak 114 liter, dua skrin infotaiment serta 11 pembesar suara.
Jika anda ada memasang niat untuk membeli Koenigsegg Gemera, anda perlu menunggu kerana ia hanya akan dihasilkan mulai akhir tahun 2024 di kilang serba baru Koenigsegg Gripen Atelier, yang terletak di Angelholm, Sweden. Penghantaran pertama dijangka dibuat pada awal tahun 2025.
Sementara itu, anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai Megacara ini di laman web Koenigsegg Gemera.
[Sumber: Koenigsegg]