Seperti yang dinantikan, Apple hari ini mengumumkan barisan telefon pintar baru mereka, bermula dengan siri iPhone 15. Ia mengekalkan dua model dengan saiz skrin yang serupa iaitu iPhone 15 6.1-inci dan iPhone 15 Plus 6.7-inci.
Prestasi tinggi A16 Bionic
Prestasi siri iPhone 15 dipertingkat berbanding iPhone 14, tetapi menggunakan cip pemproses yang sama dengan iPhone 14 Pro iaitu cip A16 Bionic. Cip ini memiliki 6-teras CPU, gabungan 2-teras berkuasa tinggi dan 4-teras jimat tenaga. Ia turut dibina bersama 5-teras GPU dan 16-teras enjin neural. Pilihan storan dikekalkan untuk siri iPhone 15 iaitu 128GB, 256GB dan 512GB.
Skrin 2x cerah
Spesifikasi skrin tidak berubah, mengekalkan skrin Super Retina XDR OLED 60Hz beruukuran 6.1-inci (iPhone 15) dan 6.7-inci (iPhone 15 Plus). Kecerahan skrin ini dinaik traf, kepada 1,000 nits tertinggi, 1,600 nits puncak HDR dan 2,000 nits puncak di luar.
Lubang Dynamic Island
Tetapi Apple telah menggantikan takuk besar kepada lubang “Dynamic Island” seperti model Pro. Dengan ini, pelbagai fungsi Dynamic Island boleh digunakan pada iPhone 15 seperti notifikasi panggilan dan sebagainya. Lubang di skrin ini memuatkan kamera TrueDepth 12MP F1.9.
Kamera 48MP dan 2x telefoto
Kamera di iPhone 15 masih kekal dua tetapi dinaik taraf kepada kamera utama 48MP F1.6 dengan kemampuan 2x Telephoto. Zum 2x ini dicapai dengan tangkapan resolusi tinggi 48MP yang menggabungkan empat piksel kecil kepada satu piksel besar, menghasilkan gambar 12MP berkualiti 2x zum. Kamera utama ini turut distabilkan dengan penstabil imej optikal (OIS) secara pengalihan sensor. Kamera kedua pula adalah kamera ultralebar 12MP F2.4 dengan sudut pandang 120-darjah.
Akhirnya USB-C
Seterusnya, Apple telah menyingkirkan port Lightning menjadi USB-C untuk mengecas dan menghantar data. Ia menyokong USB 2 dan DisplayPort dengan kepantasan penghantaran data setinggi 480Mbps. Kuasa mengecas berwayar masih kekal 20W, serta sokongan pengecasan wayarles Qi 7.5W dan Magsafe 15W.
Badan iPhone 15 diperbuat daripada aluminium bergred aeroangkasa, bersama kaca Ceramic Shield di hadapan. Bingkainya melengkung sedikit, menjaidkan ia lebih selesa digenggam. Ia masih kekal kalis air dan debu IP68.
iPhone 15 turut ditambah sokongan bantuan satelit. Ia diberikan akses percuma selama 2-tahun, tetapi hanya terdapat di 16 negara sahaja tahun ini. Masih tiada sokongan negara Asia, termasuk Malaysia.
Untuk mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050, Apple telah menyingkir penggunan plastik dari pembungkusan dan menggunakan bahan kitar semula untuk unsur nadir bumi.
Sistem operasi iOS 17 dipasang siap untuk iPhone 15. Warna pula ditawarkan dalam lima pilihan iaitu merah jambu, kuning, hijau, biru dan hitam. Tempahan awal akan dibuka mulai 15 September dan sedia dijual di beberapa negara pada 22 September.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Apple iPhone 15.