Syarikat penerbangan SKS Airways telah mengadakan satu acara untuk mempamerkan pesawat terbarunya yang akan datang, Embraer E195-E2. Acara tersebut mengambil tempat di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan kami telah diberi peluang untuk melihat pesawat demo yang digelar sebagai Tech Lion.
Lapangan terbang Subang menjadi tempat untuk acara ini adalah kerana SKS Airways berpangkalan dan beroperasi di lapangan terbang Subang. Untuk pengetahuan anda, Embraer E195-E2 merupakan pesawat jenis jet. Buat masa ini masih belum ada penerbangan yang menggunakan pesawat jet di lapangan terbang Subang. Jadi pesawat ini mungkin akan jadi yang pertama kerana akan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2024.
Selain itu, kerajaan Malaysia baru-baru ini telah memberi lampu hijau bagi pelaksanaan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP), yang mana akan mengembalikan semula penerbangan pesawat jet penumpang dan penerbangan kargo ke lapangan terbang Subang.
SKS Airways akan menjadi antara syarikat yang pertama untuk memulakan penerbangan jet di lapangan terbang tersebut, dengan yang lain adalah AirAsia, tetapi jika pelan SARP diteruskan. Bagi melaksanakan perkhidmatan jet ini, SKS Airways telah memilih pesawat Embraer E195-E2 dari Brazil.
Sebab Embraer E195-E2 dipilih
Pesawat Embraer E195-E2 adalah pesawat jet bersaiz medium yang di antara pesawat ATR yang digunakan FireFly dan Boeing 737 yang digunakan Malaysia Airlines (MAS). Ia boleh memuatkan sehingga 146 penumpang tetapi SKS Airways memilih untuk menggunakan susunan 136 penumpang untuk keselesaan yang lebih baik.
Dalam kabin pesawat, terdapat 16 tempat duduk ekonomi premium dan 120 tempat duduk ekonomi. Keluasan ruang antara tempat duduk penumpang depan dan belakang juga agak luas. Untuk ekonomi premium, ia berukuran 31 inci, manakala ekonomi pula 29 inci. Ini lebih besar daripada ruang tempat duduk yang ditawarkan AirAsia A320 yang berkeluasan 28 inci.
Keluasan kerusi di pesawat E195-E2 ini antara yang terbaik dalam industri. Ia ada lebar 18.3 inci berikan keselesaan yang lebih pada penumpang, malah untuk penumpang yang bersaiz besar. Ini lebih besar dari AirAsia yang mempunyai keluasan lebih kurang 16-17 inci.
Jarak kembara pesawat ini boleh pergi sejauh 4,815km dalam satu perjalanan. Jika diterjemah kepada masa, bersamaan 7 jam perjalanan, membolehkan ia mencapai ke destinasi seperti Australia dari Malaysia.
Menariknya, pesawat ini juga jimat bahan api, kerana menggunakan kurang 18% bahan api daripada Airbus A320NEO menjadikannya lebih murah untuk beroperasi. Pesawat ini juga mempunyai kos rendah pada penyelenggaraan, fi mendarat dan juga kos penumpang membolehkan pengoperasian pesawat ini kekal murah dalam jangka panjang.
Satu perkara yang menonjol pada pesawat ini adalah pada bahagian tingkapnya. Ianya lebih besar berbanding tingkap yang terdapat di pesawat A320, jadikan pencahayaan kabin lebih cerah serta kelihatan lebih luas. Lagi menarik, modul unit penghawa dingin dan lampu bahagian atas ruang kabin juga disediakan setiap satu untuk setiap tempat duduk, dan bukannya satu modul besar yang dikongsi seperti yang terdapat di kebanyakan pesawat komersial.
Jejak karbon yang pesawat ni hasilkan juga amat minima, dengan hanya 60 gram untuk setiap kilometer yang dilalui yang mana 33% lebih rendah daripada pesawat lain. Tambahan pula bunyi yang dijana pesawat ternyata senyap ketika terbang, jadikan penerbangan lebih selesa untuk semua penumpang di kabin.
Perancangan SKS Airways dengan E195-E2
SKS dijangka akan memulakan operasi menggunakan E195-E2 seawal tahun hadapan. Mereka akan menerima 2 daripada 10 kapal terbang yang ditempah pada Januari 2024, dan akan memulakan penerbangan berjadual beberapa bulan kemudian.
Walau bagaimanapun, untuk destinasi penerbangan yang ada, maklumat perinciannya masih belum dimuktamadkan kerana kerajaan belum meluluskannya lagi. Namun, SKS Airlines telah merancang untuk menyediakan penerbangan domestik, dan kemudian ke negara serantau.
Pihak SKS Airlines juga memberi bayangan bahawa destinasi ke Malaysia Timur juga akan termasuk dalam operasi. Jika betul, ini menjadikan penerbangan terus ke Sabah dan Sarawak akan tersedia semula untuk berlepas dari lapangan terbang Subang.
Dalam pada itu, sumber dari SKS juga mengatakan perkihdmatan WiFi akan tersedia digunakan untuk semua penumpang kerana skrin hiburan tidak disertakan di tempat duduk penumpang. Sebaliknya ada pemegang untuk penumpang meletakkan atau mendirikan peranti sendiri. Ini sistem yang sama digunakan oleh Malaysia Airlines untuk kabin pesawat mereka yang telah diperbaharui.