MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) memaklumkan telah mengemukakan penjelasan bertulis kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam tempoh masa yang diberikan. Ini selepas syarikat penerbangan tambang murah itu bertindak menghentikan operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober 2023 disebabkan masalah kewangan.
Berikut maklum balas yang diberikan MYAirline:
Rundingan dengan pelabur
Menurut MYAirline, ia telah menerima lebih 15 cadangan daripada pelabur berpotensi, dengan dua daripadanya berada dalam peringkat rundingan lanjut.
Syarikat penerbangan itu sedang berusaha untuk memuktamadkan pakej permodalan semula untuk memulihkan operasinya. Ia juga akan memudahkan pembayaran balik wang kepada penumpang terjejas serta pembayaran gaji dan yuran berkanun.
Tiada pekerja diberhentikan, cuti tanpa gaji
MYAirline juga memaklumkan bahawa tiada kakitangan yang diberhentikan atau diletakkan dalam cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober 2023 sehingga sekarang.
“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan dan memberi jaminan bahawa MYAirline melakukan segala yang terdaya bagi menangani masalah mereka. Dalam masa sama, kakitangan juga diminta bekerjasama dengan syarikat dalam masa yang sukar ini kerana MYAirline sedang berusaha untuk melakukan yang terbaik..
Selain menubuhkan ‘Tabung Ihsan’ secara dalaman bagi mengutip derma untuk disalurkan kepada pekerja yang paling terjejas teruk, MYAirline juga telah berbincang dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Ini untuk membolehkan kakitangannya memohon Skim Insurans Pekerja (EIS) bagi meringankan beban kewangan mereka.
Bayaran balik penumpang terjejas
MYAirline menyatakan bahawa ia telah menerima lebih 30,000 panggilan dan e-mel daripada penumpang terjejas yang sedang ditangani oleh pasukan khidmat pelanggannya. Mengenai bayaran balik pula, ia akan dilakukan sebaik sahaja menerima pakej permodalan semula daripada pelaburnya.
MYAirline turut memberitahu bahawa segala perkembangan terkini akan dimaklumkan kepada penumpang dan pihak berkepentingan.
[Sumber: MYAirline]