3 bulan yang lepas, telefon pintar flagship Xiaomi Mi 8 telah mula dijual di Malaysia. Tidak lama selepas itu, Xiaomi melancarkan dua lagi telefon pintar dalam siri Mi 8, satu lebih perkasa dan satu lagi lebih ringan.
Hari ini, Mi Malaysia berkongsi tentang ketibaan dua model telefon pintar dari siri Mi 8. Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite dilaporkan akan mula dijual di Malaysia pada hari Sabtu ini, 10 November 2018.
Masih tiada maklumat tentang harganya, tetapi tarikhnya telah pasti pada 10 November 2018. Mi Malaysia menyatakan, terdapat 4 lokasi di mana orang ramai boleh membelinya pada hari Sabtu ini. Lokasi tersebut ialah:
- Mi Store Pavilion, Kuala Lumpur
- Mi Store Kuantan City Mall, Kuantan
- Mi Store AEON Bukit Tinggi, Klang
- Mi Store IMAGO Shopping Mall, Kota Kinabalu
Seperti biasa, pembeli terawal pada hari tersebut akan menerima hadiah percuma bernilai RM138. Dari gambar yang dikongsikan, terdapat dua aksesori yang disertakan. Pertama ialah Mi Sports Bluetooth Earphone bernilai RM99. Yang kedua ialah Mi City Backpack bernilai RM138. Kami rasa, Mi Sports Bluetooth Eaphone ni percuma untuk pembelian Mi 8 Lite, manakala Mi City Backpack ialah hadiah percuma untuk pembelian Mi 8 Pro.
Turut diberitahu, jualan akan bermula pada pukul 10.30 pagi. Untuk yang berminat membelinya, boleh datang lebih awal untuk mula beratur. Dari gambar yang dikongsi ini juga kita dapat melihat, hanya satu warna terdapat untuk Mi 8 Pro iaitu Hitam Lutsinar. Bagi Mi 8 Lite pula terdapat dua warna, Aurora Blue dan Midnight Black.
Mi 8 Pro adalah telefon pintar yang sama dengan Mi 8 tetapi dengan kuasa lebih hebat. Mi 8 Pro juga menggunakan cip pemproses Snapdragon 845, tetapi ia memiliki RAM lebih besar 8GB bersama storan 128GB.
Skrinnya berukuran 6.21-inci HD Penuh+ bersama takuk di atas, bersama bateri yang agak kecil 3,000mAh. Kamera belakangnya dwi-lensa gabungan lensa 12MP F1.8 dan lensa telefoto 12MP F2.4. Kamera depan pula menggunakan sensor 20MP.
Kelebihan yang ada pada Mi 8 Pro adalah seperti pengimbas cap jari di atas skrin bersama sensor pengimbas wajah 3D yang terletak di dalam takuk di atas skrin.
Mi 8 Lite pula memiliki kuasa lebih rendah dari Mi 8. Cip pemprosesnya ialah Snapdragon 660, dengan pilihan RAM 4GB atau 6GB, dan storan dalaman 64GB atau 128GB.
Skrin Mi 8 Lite lebih besar sedikit, 6.26-inci HD Penuh+ juga memiliki takuk di dahi. Baterinya juga lebih besar, dengan kapasiti 3,350mAh dna menyokong pengecasan pantas QuikcCharge 3.0.
Untuk kamera, ia menggunakan dwi-sensor di belakang gandingan lensa 12MP F1.9 bersama lensa 5MP. Untuk kamera hadapan, ia dipasang lensa 24MP berkuasa Super Pixel 1.8-mikron untuk swafoto yang lebih cerah.
Harga Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite di Malaysia masih belum diumumkan. Kebiasannya, Mi Malaysia akan mengumumkan harga peranti baru beberapa hari sebelum ia mula dijual. Untuk perbandingan, harga Mi 8 yang sedang dijual di Malaysia ialah:
- Mi 8 (RAM 6GB + storan 64GB) – RM1,679
- Mi 8 (RAM 6GB + storan 128GB) – RM1,899
Manakala harga Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite semasa dilancarkan di China ialah:
- Mi 8 Lite (RAM 4GB + storan 64GB) – RMB 1,399 (~RM844)
- Mi 8 Lite (RAM 6GB + storan 64GB) – RMB 1,699 (~RM1,025)
- Mi 8 Lite (RAM 6GB + storan 128GB) – RMB 1,999 (~RM1,206)
- Mi 8 Pro (RAM 6GB + storan 128GB) – RMB 3,199 (~RM1,931)
- Mi 8 Pro (RAM 8GB + storan 128GB) – RMB 3,599 (~RM2,127)
Biasanya harga di Malaysia akan lebih mahal sikit dari China. Pasti menarik untuk melihat harga Mi 8 Lite di bawah RM1,000 dan Mi 8 Pro di bawah RM2,000.
[Sumber: Facebook Mi Malaysia]