Sejurus pelancaran barisan cip Intel Meteor Lake terbaharu, Asus terus mengumumkan kemas kini kepada salah satu penawaran mereka. Barisan Zenbook 14 OLED diumum bakal diperkasa cip Intel Core Ultra 5, 7, ataupun 9 bergantung kepada SKU.
Sebelum bercerita lebih lanjut tentang komponen yang ada di atas papan utama, Zenbook 14 OLED adalah sebuah laptop 14” dengan panel paparan OLED beresolusi 3K (2880 x 1800, 16:10) resolusinya sama sahaja dengan panel 2.8K generasi dahulu, mungkin untuk nampak gah, namanya telah ditukar.
Panel itu memiliki kadar segar semula 120Hz dan paras kecerahan boleh pergi sehingga 600 nits dalam keadaan tertentu.
Berat keseluruhan laptop ini adalah pada 1.2kg dan ia ada cap US MIL-STD 810H.
Tidak seperti pasaran global, kelihatan laman rasmi produk untuk Zenbook 14 OLED (UX3405) ini hanya senaraikan cip Intel Core Ultra 5 dan Ultra 7 sebagai cip pemproses sedangkan versi global ditawarkan sehingga Ultra 9. Kombinasi RAM dan storan yang ditawarkan adalah antara RAM 16GB + storan 512GB ataupun RAM 32GB + storan 1TB.
Pengguna diberikan barisan I/O yang cukup seperti 2 USB-C dengan sokongan Thunderbolt 4, 1 USB-A 3.2 Gen1, 1 HDMI 2.1 dan 1 jek audio 3.5mm.
Lain-lain perkar ayang perlu anda tahu adalah pad sesentuhnya adalah dwifungsi. Selain untuk menggerakkan kursor, ia juga berfungsi seperti sebuah numpad.
Bateri yang terkandung pada Zenbook 14 OLED adalah berkapasiti 75Wh dengan pengecas 65W disediakan di dalam kotak.
Asus Malaysia belum mengumumkan berapakah harga jualan laptop ini namun, mereka katakan ia akan ditawarkan pada pengguna Malaysia tak lama lagi.
Untuk perspektif, Zenbook 14 OLED versi Intel generasi 13 sekarang dijual pada harga bermula RM5,299.