Untuk tahun 2023, sekurang-kurangnya 8 model jam tangan Amazfit dilancarkan. Momentum itu nampaknya tidak akan berkurangan kerana satu lagi diperkenalkan untuk pasaran Malaysia sebelum tahun ini tamat, ia dalam bentuk Amazfit Active Edge dan berada dalam kategori Lifestyle seperti siri Amazfit GTR, Amazfit GTS, dan Balance.
Berdasarkan helaian spesifikasi, Amazfit Active Edge mempunyai rekaan mirip siri Amazfit T-Rex tapi dikenakan spesifikasi yang lebih rendah bagi memastikan harganya berada pada paras mampu milik berbanding model seperti T-Rex 2 dan T-Rex Ultra. Sebenarnya spesifikasinya lebih mirip T-Rex Pro tahun 2021
Harga Amazfit Active Edge di Malaysia
Amazfit Active Edge akan mula dijual pada 22 Disember 2023 ini pada harga RM599 menerusi laman dalam talian Lazada ataupun Shopee. Setiap pembelian akan disertakan sekali seunit fon putik sementara stok masih ada.
Spesifikasi Amazfit Active Edge
Amazfit Active Edge adalah sebuah jam tangan kecergasan dengan muka jam berbentuk bulat. Ia ada panel paparan sebesar 1.32” daripada jenis TFT pada resolusi 360p. Seperti yang dimaklumkan tadi, rekaannya mirip siri T-Rex yang juga menampakkan jam tangan ini teguh. Ia kalis air pada tahap 10 ATM, anda boleh bawanya menyelam sedalam 100 meter tanpa masalah.
Amazfit Active Edge mampu menjejak lebih 130 jenis aktiviti melalui sejumlah sensor yang terkandung dalam badannya. Antara sensor yang bersinergistik adalah seperti sensor BioTracker PPG, giroskop, dan sistem penjejak 5 satelit. Hayat bateri yang diiklankan adalah sehingga 16 hari lamanya untuk penggunaan baisa ataupun 20 jam dengan ciri penjejakan GPS dihidupkan.
Jam tangan ini menjalankan sistem operasi Zepp OS 2.0. Ciri-ciri pintar yang biasa dan ruji ditemui dalam model-model sebelum ini ada pada Active Edge seperti Zepp Coach, dan PeakBeats. Data yang dihimpunkan boleh dimuat naik kepada perkhidmatan seperti Adidas Running, Strava, Komoot, Relive, Google Fit, dan Apple Health.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.