Oppo pada hari ini melancarkan siri telefon kelas pertengahan terbaru mereka, Oppo Reno 11 untuk pasaran Malaysia. Pelancarannya mengambil tempat di pantai Desaru Coast, Johor. Siri terbaru ini datang dalam dua model iaitu Reno 11 dan juga Reno 11 Pro.
Kedua-dua telefon ini hadir dengan kemasan unik berkilauan pada panel belakang, kamera utama 50MP dan datang bersama Android 14 terkini. Walau bagaimanapun, varian yang dilancarkan di Malaysia sedikit berbeza dengan varian di China dari segi cip yang digunakan.
Harga dan ketersediaan Oppo Reno 11 di Malaysia
Bagaimanapun, Orang ramai yang berminat boleh dapatkan Reno 11 dan Oppo Reno 11 Pro bermula hari ini. Hanya satu varian yang ditawarkan untuk kedua-dua model dan harga jualannya di Malaysia adalah seperti berikut:
- Oppo Reno 11 (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,899
- Oppo Reno 11 Pro (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM2,499
Lebih menarik, Oppo turut menawarkan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM466 kepada pembeli awal yang membuat pembelian Reno 11 dari 21 Januari hingga 21 Januari 2024. Hadiah tersebut berupa fon putik Enco Buds 2, powerbank dan juga waranti tambahan selama setahun.
Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor dalam talian Oppo, kedai jenama Oppo, semua pengedar sah Oppo di seluruh Malaysia dan juga gedung rasmi Oppo di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Oppo Reno 11
Spesifkasi yang didukung Oppo Reno 11 ini lebih kurang sama seperti model Pro-nya tetapi berbeza pada bahagian luaran. Sebalik kemasan satin, Reno 11 menggunakan kemasan sutera berkilauan dengan tekstur seperti air mengalir, menawarkan rupa dan estetik yang cukup elegan. Kemasan ini eksklusif untuk warna hijau sahaja. Badannya juga nipis pada 7.99mm dan ringan 182 gram.
Paparan Reno 11 adalah jenis OLED melengkung berukuran 6.7″ pada resolusi HD Penuh serta menyokong kadar penyegaran 120Hz. Kecerahan puncak yang dimiliki panel ini adalah setinggi 950 nits dan ia turut menyokong HDR 10+. Anda boleh temui pengimbas cap jari di dalam skrin.
Atas papan utama, Reno 11 ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7050 berbanding Dimensity 8200 yang lebih berkuasa untuk model China. Cip itu digandingkan dengan RAM 12GB dan storan 256GB. Slot kad mikroSD turut disediakan. Dari segi perisian, ia menjalankan sistem operasi ColorOS 14 terkini berasaskan Android 14.
Sistem kamera yang dipakai pada Reno 11 juga tidak kurang hebatnya. Kamera utamanya 50MP f/1.8 menggunakan sensor Sony LYT600 bersama sokongan OIS, kamera telefoto 32MP f/2.0 dengan sensor Sony IMX709 berkeupayaan zum optikal 2x dan kamera ultra lebar 8MP f/2.2. Manakala untuk selfie, ia turut menggunakan kamera 32MP f/2.4 tetapi sensor jenis OmniVision OV32C dan tiada autofokus.
Menghidupkan telefon ini adalah dari bateri berkapasiti lebih besar pada 5,000mAh serta menyokong pengecasan SuperVOOC 67W. Ia turut dilengkapi speaker stereo, satu naik taraf berbanding model Reno 10 terdahulu. Lagi ciri lain yang Reno 11 ada termasuk NFC, Bluetooth 5.3, IR Blaster, 5G dan WiFi 6.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Oppo Reno 11 di sini.