Bayangkan, kalau anda ada bajet RM600, telefon apa yang anda akan pilih? Mesti susahkan nak buat pilihan sebab bajet macam ini selalunya susah untuk dapatkan telefon yang bagus. Tetapi, sebenarnya, ada beberapa pilihan menarik dan bagus yang anda boleh dapat pada harga sangat murah.
Sesuai untuk jadikan sebagai telefon sekunder, telefon pertama untuk anak, atau pekerja gig macam e-hailing. Bukan takat untuk kegunaan asas sahaja, telefon bajet RM600 pun ada yang sesuai untuk gaming, ada fungsi NFC serta ada kapasiti bateri cukup besar.
Jadi dalam artikel ini saya akan senaraikan 5 telefon terbaik yang anda boleh dapat pada harga sekitar RM600. Anda juga boleh tonton video kami di YouTube.
1. Infinix Note 30 4G – RM639
Pertama sekali, Infinix Note 30 4G, jangan keliru dengan model 5G pula. Telefon ini antara telefon terbaik boleh didapati dengan bajet RM600 sebab ia ada spesifikasi berbaloi dengan setiap sen yang anda belanja. Infinix Note 30 merupakan telefon paling berkuasa dalam senarai kerana dikuasakan cip MediaTek Helio G99.
RAM pun jenis LPDDR4 bersaiz 8GB dan storan dalaman besar UFS 256GB. Jarang harga lingkungan ini dapat storan sebesar itu. Satu lagi kelebihan lain pada telefon ini adalah ia ada pengecasan pantas 45W. Tapi yang lagi bagus, Note 30 ini dilengkapi dengan ciri “Bypass Charging” untuk gaming. Kalau gaming lama tak adalah telefon panas dan cepat merosakkan bateri.
Skrin pun tak kurang hebat, jenis IPS LCD HD Penuh dengan kadar penyegaran paling laju dalam senarai pada 120Hz. Rekaan skrinnya pun nampak cantik dan premium sebab guna lubang untuk tempatkan kamera depan.
Lagi bagus, speaker yang digunakan adalah stereo ditala JBL, dan ia ada NFC. Jadi bolehlah topup kad TNG Enhanced anda. Infinix note 30 dilancar pada harga RM699 sewaktu awal pelancaran, tapi sekarang boleh dapat lagi murah pada harga RM639.
Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
2. Samsung Galaxy A05 – RM649
Samsung Galaxy A05 ini baru dilancarkan pada Oktober tahun lalu. Spesifikasi yang didukung telefon ini biasa-biasa sahaja, tapi kelebihan dia pada OS sebab Samsung bagi jaminan kemas kini sekuriti 4 tahun dan kemas kini OS 2 tahun, bermakna ia akan dapat naik taraf OS sehingga Android 15.
Atas papan utama ia dikuasakan cip Helio G85, dengan RAM 6GB dan storan 128GB. Kalau storan tidak mencukupi, ia boleh diperluas lagi dengan slot mikroSD. Panel skrinnya pun besar berukuran 6.7-inci HD menggunakan panel LCD dan guna rekaan takuk “U” untuk muatkan kamera hadapan.
Namun, walaupun skrin besar, nak layan video kurang syok kerana speakernya hanya mono sahaja. Tapi ia masih ada jek audio 3.5mm jika anda perlukan. Untuk bateri ia ada kapasiti 5,000mAh dan ia menggunakan kamera utama 50MP.
Samsung Galaxy A05 boleh dibeli pada harga RM649 di Lazada dan Shopee.
3. Poco C65 – RM569
Poco C65 ini sebenarnya model yang sama dengan Redmi 13C. Tapi Poco C65 ini dipilih sebab harganya lebih murah, dan mesti lagi ramai yang minat Poco, betul tak? Untuk Poco C65 ini, ia hadir dengan skrin 6.74 inci HD dan ada kadar penyegaran 90Hz. Bermain game atau skrol media sosial, memang bagus.
Tambah baik ia menggunakan RAM pantas LPDDR4X 8GB dan dikuasakan cip Helio G85. Storan pun besar 256GB, tapi cuma guna jenis eMMC 5.1. Daripada segi perisian, Poco C65 ini menjalankan MIUI 14, belum dapat HyperOS yang baru. Kapasiti bateri adalah sebesar 5,000mAh, dan ia ada NFC. Untuk tangkap gambar, ia ada kamera 50MP dan terdapat juga pengimbas cap jari di sisi.
Poco C65 boleh didapatkan di Malaysia pada harga RM569. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
4. Realme C53 – RM599
Telefon Realme C53 ini nampak sahaja biasa, tapi ia ada ciri menarik yang tak ada pada telefon lain dalam senarai. Dekat takuk atas skrin, Realme C53 mempunyai ciri Dynamic Island seperti di iPhone 15 yang dipanggil Mini Capsule. Ia boleh tunjukkan maklumat ringkas macam status pengecasan dan penggunaan data. Skrin pula menggunakan paparan LCD 6.74-inci HD dengan kadar penyegaran 90Hz.
Selain itu, Realme C53 ini menyokong pengecasan pantas 33W SuperVOOC dengan bateri besar 5,000mAh yang menerimanya. Realme mendakwa ia boleh mengecas dari 0% hingga 50% dalam masa 31 minit. Macam Poco C65 dan Galaxy A05, Realme C53 juga meggunakan kamera utama 50MP.
Cip yang digunakan tidaklah laju sangat, Unisoc T612 dan untuk bawah RM600, ia dipadankan dengan RAM 6GB bersama storan dalaman 128GB. Tapi RAM boleh diperluas dengan RAM dinamik lagi 8GB dan slot mikroSD turut tersedia.
Realme C53 boleh didapatkan pada harga RM599 di Lazada dan Shopee.
5. Oppo A58 4G – RM649
Yang terakhir sekali adalah Oppo A58 4G, bukan 5G. Oppo A58 ini lebih mahal sedikit sahaja dari Oppo A38, tapi ada spesifikasi lagi baik. Ia menggunakan skrin jenis lubang untuk tempatkan kamera depan, jadi nampak cantik sikit. Panel skrin ini juga besar pada 6.72-inci, serta beresolusi HD Penuh dengan kadar penyegaran 90Hz.
Cip yang dipasangkan padanya adalah MediaTek Helio G85 dan ia didatangkan dengan RAM jenis LPDDR4X 6GB dan storan dalaman 128GB, tapi hanya eMMC 5.1..
Baterinya berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan SuperVOOC 33W. Selain tu, kelebihan Oppo A58 ni termasuk speaker stereo, dan Oppo memaklumkan speakernya boleh mencapai volume sampai 300%. Yang menariknya, ia diiktiraf kalis air IPX4, jadi kalau setakat kena percikan air tu tak ada masalah.
Oppo A58 boleh dibeli pada harga hanya RM649 di Lazada dan Shopee.
Telefon mana yang terbaik untuk anda?
Berikut adalah telefon terbaik yang anda boleh dapat dengan bajet RM600 sekarang. Dengan bajet macam ini, sememangnya sedikit susah untuk dapatkan telefon yang berkuasa. Tapi kalau anda nak yang paling berkuasa dan boleh buat untuk gaming, dapatkan Infinix Note 30 sebab guna cip Helio G99 dan ada ciri “Bypass Charging”.
Kalau nak telefon macam iPhone 15 ada Dynamic Island, dapatkan Realme C53. Kepada yang suka MIUI dan peminat Poco, boleh dapatkan Poco C65. Samsung Galaxy A05 sesuai untuk anda yang nak guna telefon lama, sebab ia dijamin terima kemas kini keselamatan selama 4 tahun. Kalau nak skrin cantik untuk layan konten, boleh dapatkan Oppo A58 sebab skrinnya ada resolusi HD Penuh.