Anker adalah pengeluar produk tenaga pengguna, seperti powerbank dan pengecas. Kini mereka melancarkan barisan powerbank berkuasa tinggi ke Malaysia, siri Anker Prime. Ia menggunakan teknologi Galium Nitride (GaN) untuk pengaliran tenaga lebih cekap, dalam rekaan kompak untuk memastikan penghasilan haba lebih rendah.
Di samping powerbank, Anker Malaysia turut memperkenal pengecas yang serasi digunakan bersama siri Anker Prime untuk memastikan powerbank tersebut boleh dicas dengan lebih cekap tenaga.
Harga siri Anker Prime
Semua produk Anker Prime dan pengecas yang baru diumumkan ini, akan mula dijual di Malaysia pada 27 Mac 2024. Ia boleh dibeli dari Stor Rasmi Anker di Lazada, Shopee, dan juga TikTok Shop.
Berikut adalah harga rasmi produk baru Anker Prime di Malaysia:
- Anker 733 Power Bank 65W – RM499
- Anker Prime 12,000mAh Power Bank 130W – RM599
- Anker Prime 24,000mAh Power Bank 140W – RM899
- Anker Prime 20,000mAh Power Bank 200W – RM699
- Anker Prime 27,650mAh Power Bank 250W – RM999
- Anker 100W Charging Base for Anker Prime – RM349
- Anker MagGo 3-in-1 Wireless Charging Station – RM699
- Anker PowerExtend USB-C Travel Adapter 30W – RM219
Anker memberikan jaminan 24-bulan untuk semua produknya, dengan penggantian terus tanpa perlu dibaiki. Ini untuk menunjukkan komitmen Anker kepada pengguna bagi menikmati pengalaman produk tanpa risau tentang kerosakan.
Powerbank Anker Prime 250W, 200W, 140W, 130W
Siri Anker Prime datang dalam beberapa model dengan kapasiti dan keupayaan mengecas berbeza. Tetapi ia mempunyai beberapa persamaan, antaranya terdapat skrin yang menunjukkan status mengecas. Powerbank ini juga boleh dihubungkan ke telefon pintar secara Bluetooth dan dipantau menerusi aplikasi Anker.
Kapasiti terbesar dan kuasa mengecas terkuat adalah Anker Prime 27,650mAh 250W. Dengan kapasiti sebesar ini, ia tidak boleh dibawa naik ke pesawat kerana melebihi had biasa 27,000mAh atau 100Wh. Tetapi untuk penggunaan atas darat, ia mampu mengecas dua peranti serentak dengan kuasa 100W setiap satu. Untuk mengecas semula powerbank, ia menyokong pengecasan masuk 100W menggunakan pengecas Anker yang serasi.
Jika mahu bawa naik ke pesawat, pilihan terbesar adalah Anker Prime 20,000mAh 200W. Ia juga mampu mengecas dua peranti serentak dengan kuasa 100W setiap satu. Untuk mengecas powerbank, ia menyokong pengecas sehingga 100W.
Untuk pilihan terkecil dalam siri ini adalah Anker Prime 12,000mAh 130W. Walaupun nampak kecil, ia mampu mengecas dua peranti serentak dengan kuasa 65W setiap satu. Ia juga menerima kuasa 65W untuk mengecas semula.
Anker Prime 733 Power Bank (GaNPrime PowerCore 65W)
Ini adalah produk hibrid, pengecas dan powerbank bergabung menjadi satu. Ia ada bateri berkapasiti 10,000mAh dan turut bertindak sebagai pengecas dengan kuasa 65W. Tetapi dalam mod bateri, ia mampu mengeluarkan kuasa 30W sahaja.
Sebagai produk hibrid, ia mudah dibawa dan digunakan dalam pelbagai situasi. Untuk kuasa penuh, hanya cucuk ke palam kuasa dinding dan mengecas laptop dengan kuasa 65W. Apabila berjalan, ia boleh digunakan mengecas telefon sehingga 30W.
Anker 100W Charging Base
Ini adalah pengecas yang terbaik digunakan bersama powerbank siri Anker Prime. Ia adalah pengecas biasa dengan 3-port, mampu mengecas peranti dengan kuasa sehingga 100W.
Tetapi selain itu, ia juga ada pin khas yang boleh disambungkan ke powerbank Anker Prime untuk mengecas tanpa kabel dengan kuasa 100W. Dengan 3 port lain, ia boleh mengecas sehingga 4 peranti serentak.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk baru Anker ini, layari lama produk powerbank Anker Prime, Anker Prime 733 dan Anker 100W Charging Base.