TM telah mengesahkan bahawa insiden kecurian kabel bari-baru ini yang berlaku di Tanjung Bungah, Pulau Pinang sememangnya melibatkan kontraktor dan pekerja mereka sendiri. Ini susulan daripada penahanan dua pekerja TM dan enam kontraktor TM yang dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri kabel.
Dalam kenyataan rasmi TM, mereka mengatakan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Namun, memandangkan siasatan masih sedang dijalankan, pihak TM tidak dapat memberikan ulasan lanjut mengenai perkara ini.
Bagaimana aktiviti pemotongan kabel terbongkar
Menurut laporan RTM, aktiviti tersebut terbongkar selepas pihak polis mengesan kesemua suspek melakukan kerja-kerja pemotongan kabel tanpa sebarang kebenaran atau pengesahan daripada pihak TM.
Semasa pemeriksaan dijalankan, polis memaklumkan yang suspek ada menunjukkan borang pengesahan yang katanya dikeluarkan pihak TM, tetapi pegawai dan anggota polis bertugas curiga tentang keaslian borang yang ditunjukkan. Jadi, polis melakukan pengesahan dengan wakil pihak TM dan mereka mengesahkan tiada kebenaran diberikan untuk kerja-kerja pemotongan kabel di kawasan tersebut.
Disebabkan itu, polis telah merampas 242 batang kabel dengan ia melibatkan kerugian kira-kira RM100,000. Empat suspek yang ditahan berusia di antara 31 tahun hingga 42 tahun juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ketum. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
TM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesalah
TM dalam kenyataan yang sama juga memaklumkan mereka tidak akan bertoleransi terhadap sebarang salah laku dan tidak teragak-agak untuk ambil tindakan tegas dan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan. Ia selaras dengan komitmen mereka untuk menegakkan integriti dan akauntabiliti di organisasi TM.
Dalam masa sama, TM turut menyatakan, “kecurian kabel adalah satu kesalahan serius yang mengancam keselamatan nyawa, mengganggu perkhidmatan penting yang diperlukan rakyat Malaysia setiap hari”. TM menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi 999 atau laporkan di balai polis berdekatan.
[Sumber: Kenyataan rasmi TM / RTM] [Sumber gambar]