Kalau anda tengah cari telefon 5G murah dengan skrin dan bateri besar, Xiaomi Malaysia baru sahaja memperkenalkan telefon pintar terbaru Redmi 15 5G. Telefon ini hadir dengan skrin 6.9″ dan kapasiti bateri besar yang dikatakan mampu bertahan sehingga 2 hari dalam satu isian penuh.
Harga Redmi 15 5G di Malaysia

Redmi 15 5G ditawarkan hanya dalam satu varian RAM 8GB dan storan 256GB pada harga RM729.
Sebanyak tiga pilihan warna disediakan untuk Redmi 15 5G iaitu hijau, kelabu dan hitam. Anda boleh dapatkannya sekarang menerusi stor online Xiaomi Mi.com.
Spesifikasi Redmi 15 5G

Walaupun berharga bawah RM800, telefon pintar Redmi 15 5G masih menawarkan spesifikasi menarik. Kuasa penggerak utamanya adalah cip Snapdragon 6s Gen 3 yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan dalaman UFS 2.2 seluas 256GB. Storan turut boleh diperluas sehingga 2TB melalui kad mikroSD.
Skrinnya bersaiz 6.9″ dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 144Hz, serta menyokong kecerahan puncak 850 nits. Selain itu, ia juga menampilkan panel belakang quad curved dan menerima pengiktirafan kalis percikan air dan debu IP64.
Bagi kelengkapan kamera, Redmi 15 5G dilengkapi dengan dua kamera. Satu daripadanya adalah kamera utama 50MP, dan satu lagi lensa kedua yang tidak dinyatakan. Lubang di atas menempatkan kamera swafoto 8MP.

Untuk tenaga, kapasiti bateri 7,000mAh dimuatkan pada Redmi 15 5G yang didakwa mampu bertahan sehingga 2 hari dalam satu isian penuh. Pengecasan pula boleh dilakukan pada kuasa 33W melalui USB-C. Walaupun bateri besar, rekaan Redmi 15 5G cukup nipis 8.4mm dengan berat 217g.
Terdapat juga pengimbas cap jari di butang kuasa dan ia akan menjalankan sistem operasi HyperOS 2.