Kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) dijangka mengalami kenaikan harga tahun hadapan, selepas kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak menyambung pengecualian cukai sedia ada yang berakhir pada 31 Disember 2025. Selepas itu, insentif cukai untuk EV hanya akan diteruskan bagi EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 2027.
Jika anda sedang mempertimbangkan untuk membeli Tesla Model 3 atau Model Y baharu, Tesla Malaysia kini menguar-uarkan supaya pembeli untuk mendapatkan unit mereka secepat mungkin, dengan penjimatan sekurang-kurangnya RM20,000 sebelum pengecualian cukai berakhir. Perlu diingatkan, kenderaan mesti didaftarkan sebelum 31 Disember 2025 untuk menikmati harga sedia ada.
Ini adalah kerana, Tesla masih belum mempunyai rancangan untuk pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia. Semua modelnya ketika ini diimport sepenuhnya, jadi harga jualan akan meningkat apabila pengecualian cukai tamat, bermula 1 Januari 2026.

Selain itu, Tesla Malaysia turut mengadakan promosi terhad untuk menggalakkan lebih ramai pengguna menukar kenderaan petrol mereka kepada EV baharu.
Harga Tesla Model 3 dan Model Y di Malaysia
Di Malaysia, Tesla Malaysia menawarkan empat varian sedan Model 3 dan dua varian SUV Model Y.
Barisan Tesla Model 3 baru-baru ini telah dikemas kini, termasuk varian Model 3 Long Range RWD dengan jarak WLTP 750 km. Selain itu, Tesla juga telah menurunkan harga varian Model 3 sedia ada sehingga RM13,000, sambil menambah tuil untuk lampu signal, kamera hadapan, dan lencana Tesla hitam matte baharu.
Berikut adalah harga permulaan Tesla Model 3 (“Highland”) di Malaysia:
- Model 3 RWD – RM169,000
- Model 3 Long Range RWD – RM185,000
- Model 3 Long Range AWD – RM199,000
- Model 3 Performance AWD – RM229,000
Sementara itu, Tesla Model Y (“Juniper”) ditawarkan pada harga:
- Model Y RWD – RM195,450
- Model Y Long Range AWD – RM242,450
Perlu diingat, harga ini adalah harga asas sebelum sebarang pengubahsuaian seperti warna luaran dan dalaman, naik taraf saiz roda, atau tambahan ciri Autopilot.
Insentif terhad, nilai tambahan sehingga RM15,000 tntuk Trade-In

Untuk tempoh terhad, Tesla Malaysia menawarkan insentif tambahan, termasuk kadar faedah rendah dan tambahan nilai untuk trade-in kenderaan lama anda.
Bagi Tesla Model 3, pelanggan yang menukar kereta petrol mereka akan menerima tambahan nilai trade-in sebanyak RM7,500, atau boleh memilih program pembiayaan dengan kadar faedah serendah 0%.
Sementara itu, Model Y pula ditawarkan dengan tambahan nilai trade-in yang lebih tinggi sehingga RM15,000, atau kadar faedah istimewa bermula 0.88%.
Sebagai bonus, Tesla turut memberikan pengecas dinding (Wall Connector) bernilai RM2,880 secara percuma, membolehkan anda mengecas EV dengan lebih mudah di rumah.