Vivo Malaysia hari ini melancarkan Vivo V70, model pertengahan premium terbaharu dan juga pengganti kepada Vivo V60 yang diperkenalkan tahun lalu. Walaupun banyak perkakasan yang dikekalkan, model terbaru ini hadir dengan reka bentuk yang lebih segar dan sistem kamera yang masih mengekalkan kerjasama dengan ZEISS.
Harga Vivo V70 di Malaysia

Di Malaysia, vivo V70 ditawarkan dalam tiga pilihan memori dengan harga seperti berikut:
- Vivo V70 (8GB + 256GB) – RM1,999
- Vivo V70 (12GB + 256GB) – RM2,199
- Vivo V70 (12GB + 512GB) – RM2,599
Pengguna boleh dapatkan Vivo V70 dalam tiga pilihan warna iaitu Golden Hour, Alpine Gray dan Authentic Black.

Bagi yang mereka yang mempratempah Vivo V70 dari sekarang sehingga 13 Mac, Vivo turut menawarkan beberapa hadiah percuma termasuk wafer emas AU 999, fon putik Vivo Buds, lanjutan jaminan Vivo Care selama 365 hari, serta perlindungan cecair Vivo Care 365 hari pada harga PWP RM17. Pelanggan juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad V70 x PopMart.
Spesifikasi Vivo V70

Perubahan paling ketara pada vivo V70 adalah dari segi reka bentuk, yang kini tampil dengan badan rata dan saiz yang lebih kompak. Ia menggunakan rangka Aloi Aluminium Gred Aeroangkasa, dipadankan dengan panel belakang kaca AG yang dikatakan tahan cap jari dan calar. Warna baharu yang diperkenalkan kali ini ialah Golden Hour, diinspirasikan daripada cahaya matahari terbenam, selain turut ditawarkan dalam pilihan kelabu dan hitam.

Badan telefon juga kalis air dan debu IP68 dan IP69, dan terdapat pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin. Di hadapan, Vivo V70 menerima skrin 6.59″ jenis OLED beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga hadir dengan bezel ultra nipis hanya 1.25mm. Sebagai perbandingan, model sebelum ini menggunakan skrin 6.77″.

Atas papan utama, ia masih dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 4 yang sama dengan V60 tahun lalu, dan dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 12GB dan storan dalaman UFS 4.1 sehingga 512GB. Vivo turut memuatkan istem penyejukan vapour chamber bersaiz 4,200mm² untuk membatu mengekalkan suhu stabil ketika bermain game.
Kapasiti bateri yang dimuatkan masih 6,500mAh jenis BlueVolt, dan ia menyokong pengecasan FlashCharge 90W.

Vivo V70 dilengkapi tetapan trikamera belakang yang masih dibangunkan bersama ZEISS. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultralebar 8MP dan kamera telefoto periskop 50MP dengan OIS. Kamera telefoto ini menggunakan sensor 1/1.95” dan menyokong zum sehingga 10x dengan bantuan Mod Pentas AI, yang direka khusus untuk fotografi persembahan pentas, membantu menangkap subjek dari jarak jauh dengan lebih jelas dan tajam.
Di bahagian hadapan pula terdapat kamera selfie 50MP dengan autofokus.
Selain itu, Vivo turut menyertakan ciri ZEISS Multifocal Portrait, termasuk pilihan potret 85mm dengan bokeh gaya Sonnar serta potret 100mm dengan bokeh gaya Planar untuk hasil yang lebih dramatik. Untuk video, vivo V70 kini menyokong rakaman 4K 60fps, yang pertama dalam siri V, selain dilengkapi dengan AI ciri Audio Noise Eraser yang membolehkan pengguna membuang bunyi tidak diingini.

Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan sistem operasi OriginOS 6 berasaskan Android 16. Antara ciri baharu termasuk Origin Island iaitu kapsul dinamik di bahagian atas skrin, AI Search untuk carian menggunakan bahasa semula jadi, AI Captions dengan transkripsi dan terjemahan masa nyata, AI Creation untuk membantu penulisan dan Gemini. Vivo turut menjanjikan empat generasi naik taraf sistem operasi dan enam tahun kemas kini keselamatan.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Vivo V70.






