Vivo Malaysia kini memperluaskan siri X300 dengan dua mengumumkan model flagship baharu, Vivo X300 Ultra dan Vivo X300 FE. Kedua-dua model ini menggunakan sistem kamera yang dibangunkan dengan kerjasama ZEISS dan membawa fokus berbeza, satu untuk prestasi kamera tahap profesional, satu lagi untuk pengalaman flagship dalam badan lebih kompak.
Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, Vivo Malaysia sudah pun membuka tempahan awal untuk kedua-dua peranti ini, lengkap dengan pelbagai tawaran menarik.
Promosi tempahan awal X300 Ultra dan X300 FE di Malaysia

Tempahan untuk vivo X300 Ultra dan X300 FE dibuka sehingga 22 Mei 2026.
Pembeli awal X300 Ultra akan menerima rebat tunai RM900 dan tripod kamera aluminium COMAN bernilai RM299, manakala pembeli X300 FE pula akan mendapat pembesar suara JBL bernilai RM299 dan fon putik Vivo Buds Pro bernilai RM199.
Kedua-dua model turut disertakan dengan Vivo Care, termasuk waranti lanjutan 1+1 tahun dan perlindungan skrin retak selama 180 hari.

Selain itu, terdapat juga tawaran pembelian tambahan (PWP):
- X300 FE Telephoto Extender Kit dengan diskaun RM300
- Diskaun 30% untuk vivo ZEISS Telephoto Extender Gen 2 dan Gen 2 Ultra
- Beg storan percuma bernilai RM159
- X300 Ultra Photographer Kit dengan diskaun 30% untuk Telephoto Extender
Vivo X300 Ultra
Menjelang pelancarannya, Vivo turut mendedahkan beberapa perkara penting pada peranti yang bakal dilancarkan. Menurut kenyataan Vivo, Vivo X300 Ultra akan penekanan pada keupayaan fotografi dan videografi. Ia hadir dengan sistem kamera ZEISS Master Lenses, menampilkan dua kamera 200MP dengan konfigurasi lensa 35mm untuk utama dan 85mm telefoto yang memiliki penstabilan gimbal APO. Kamera ultralebarnya pula menggunakan lensa 14mm.
Untuk rakaman video, X300 Ultra menyokong 4K 120fps pada semua lensa, rakaman Dolby Vision dengan multi-focal 4K 120fps 10-bit log, dan penstabilan imej optik pelbagai fokus.
Terdapat juga beberapa tambahan ciri pengimejan baharu antaranya Vivo Refined Portrait untuk tona kulit lebih natural, Flash Portrait untuk prestasi lebih baik dalam keadaan cahaya rendah, Street Photography 3.0 dengan peningkatan pada warna dengan burst dan Landscape Mode 2.0 dengan kawalan profesional serta julat dinamik lebih luas. Ia juga menyokong tangkapan sehingga 60fps dengan Tracking Snapshot menggunakan algoritma NICE untuk mengunci subjek yang bergerak dengan lebih tepat.

Untuk zum yang lebih jauh, ZEISS Telephoto Extender Gen 2 tersedia dalam dua pilihan 200mm dan 400mm. Aksesori vivo Imaging Grip Kit turut ditawarkan secara pilihan, memberikan kawalan fizikal seperti butang pengatup, tuas zum, dan butang boleh disuai untuk pengalaman yang lebih menyerupai kamera sebenar.
Meskipun tidak mendedahkan dengan jelas skrin yang bakal diguna, X300 Ultra hadir dengan skrin 6.82″ berbadan kaca dalam dua pilihan warna Steppe Green dan Volcano Black.
Vivo X300 FE
X300 FE pula direka untuk pengguna yang mahukan prestasi imaging yang baik dalam badan yang lebih kecil dan ringan. Dengan ketebalan hanya 7.99mm, ia dikatakan antara yang paling nipis dalam kelasnya dan selesa untuk dipegang dengan satu tangan.
Walaupun kompak, ia masih menawarkan sistem kamera berkuasa yang dikuasakan ZEISS. Ini termasuk kamera telefoto ZEISS 50MP dengan sokongan zum sehingga 100x, kamera utama 50MP dan kamera ultralebar 8MP.

Selain itu, 300 FE turut didatangkan bersama kit ZEISS Telephoto Extender, yang membolehkannya mencapai jarak fokus sehingga 200mm. Untuk kegunaan harian, X300 FE turut dilengkapi mod seperti Street Photography dan Stage Mode untuk rakaman pelbagai situasi termasuk persembahan pentas atau konsert.
Paparan pula menggunakan ZEISS True Colour Display, yang dikatakan menampilkan warna lebih tepat dan konsisten.
Model ini ditawarkan dalam pilihan warna Mist Purple, Glow White dan Luxe Black.
Buat masa ini, vivo masih belum mendedahkan tarikh pelancaran rasmi untuk X300 Ultra dan X300 FE. Namun, berdasarkan tempoh tempahan awal yang berakhir pada 22 Mei, kemungkinan besar kedua-dua model akan dilancarkan sekitar hujung Mei ini.






