YouTube kini telah mengumumkan beberapa perubahan penting pada Program Rakan Kongsi YouTube (YPP) yang bakal berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Februari 2027. Ini merupakan perubahan besar pertama kepada YPP sejak 2018, dengan kemas kini kali ini melibatkan syarat kelayakan yang lebih tinggi untuk menjana pendapatan daripada kandungan YouTube.
Pada masa sama, YouTube turut mengumumkan beberapa perubahan berkaitan YouTube Premium Lite, termasuk peluasan pelan langganan ini ke lebih banyak negara serta peluang pendapatan tambahan untuk pencipta kandungan.
Menurut YouTube, langkah ini diambil bagi menyesuaikan ekosistem YouTube dengan pertumbuhan pesat platform berkenaan yang kini mencatatkan lebih 200 bilion tontonan Shorts harian, dan dalam masa sama memastikan ganjaran yang lebih bermakna dapat diberikan kepada pencipta kandungan yang aktif.
Syarat YPP kini dua kali ganda lebih tinggi untuk kelayakan jana wang
Bagi pencipta kandungan baharu yang mahu menyertai YPP untuk mula menjana pendapatan menerusi iklan dan YouTube Premium, syarat kelayakan sekarang telah dinaikkan dua kali ganda berbanding sebelum ini.

Mulai 1 Februari 2027, saluran baharu perlu mencapai salah satu daripada syarat berikut:
- 8,000 jam tontonan layak untuk video format panjang dalam tempoh 365 hari (sebelum ini 4,000 jam); atau
- 20 juta tontonan Shorts layak dalam tempoh 90 hari (sebelum ini 10 juta).
Walau bagaimanapun, perubahan ini hanya terpakai kepada pencipta baharu. Saluran yang sudah pun sedia ada di dalam YPP tidak akan terjejas. Selain itu, syarat kelayakan syarat untuk mengakses ciri Fan Funding dan YouTube Shopping kekal tidak berubah.
YouTube berkata perubahan ini dibuat bagi memastikan program YPP terus seiring dengan perkembangan platform, yang kini mencatat lebih 200 bilion tontonan Shorts setiap hari serta lebih 1 bilion jam tontonan YouTube di TV setiap hari.
Pencipta Shorts perlu 10 juta tontonan untuk terus jana pendapatan
YouTube turut mengemaskini syarat untuk menjana pendapatan khusus untuk kandungan Shorts. Bermula 1 Februari 2027, pencipta perlu mengekalkan sekurang-kurangnya 10 juta tontonan Shorts yang layak dalam tempoh 90 hari untuk terus menerima agihan hasil iklan dan langganan daripada Shorts.
Jika jumlah tontonan berada di bawah paras tersebut, saluran masih kekal dalam YPP dan boleh terus menjana pendapatan daripada video panjang. Perkongsian hasil Shorts pula akan kembali secara automatik apabila saluran mencapai semula 10 juta tontonan yang layak dalam tempoh 90 hari.
YouTube menjelaskan bahawa pencipta yang sudah sedia menjana pendapatan besar daripada Shorts berkemungkinan tidak terjejas dengan perubahan ini.
Selain hasil iklan, YouTube juga akan memperkenalkan lebih banyak program insentif untuk membantu pencipta Shorts menjana pendapatan. Antaranya termasuk bonus YouTube Shopping, insentif untuk kerjasama dengan jenama serta ganjaran kepada pencipta yang berjaya memulakan dan mengembangkan sesuatu trend. Butiran lanjut mengenai program ini akan dikongsikan tidak lama lagi.
YouTube Premium Lite diperluas ke lebih banyak negara

Satu lagi perubahan besar ialah pengembangan YouTube Premium Lite ke semua negara yang menawarkan YouTube Premium. Langganan yang lebih mampu milik ini menawarkan tontonan tanpa iklan, tontonan luar talian, serta main balik di latar belakang untuk kebanyakan kandungan.
Pencipta kandungan turut boleh menerima sebahagian daripada hasil langganan ini. Menerusi struktur baharu, YouTube akan memperuntukkan 60% daripada hasil bersih Premium Lite kepada kumpulan hasil pencipta, manakala sebanyak 30% hasil daripada langganan YouTube Premium biasa. Hasil dalam kumpulan ini kemudiannya diagihkan kepada pencipta berdasarkan masa tontonan dan jumlah tontonan ahli, dengan pencipta menerima 55% untuk video panjang dan 45% untuk Shorts.
YouTube berkata, penambahan jumlah pelanggan Premium dan Premium Lite dijangka dapat meningkatkan pendapatan pencipta kandungan secara keseluruhan. Ini kerana secara perata, pencipta memperoleh lebih banyak hasil daripada pengguna yang melanggan Premium, berbanding pengguna yang sebelum ini hanya menonton dengan iklan.
Pencipta kandungan kini boleh menyemak dan menerima terma baharu YPP melalui YouTube Studio, dengan perubahan ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2027.
[Sumber: YouTube]






