Tren bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi menjelang 2027, telah mengeluarkan harga tambang ECRL bagi laluan ke negeri pantai timur! Kerajaan telah meluluskan pelaksanaan tambang ECRL berasaskan mekanisme dinamik yang fleksibel.
Perkhidmatan tren ECRL ini sememangnya telah dinantikan oleh orang ramai kerana ia bakal memudahkan orang awam yang ingin ke negeri-negeri pantai timur melalui perkhidmatan pengangkutan awam.
Kadar tambang mengikut jenis laluan dan kelas

Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd telah memberi senarai harga bagi caj perjalanan ECRL mengikut kelas Ekonomi dan jenis laluan, berikut adalah senarainya:
Stesen Gombak ke Kota Bharu
- Tambang kelas Ekonomi (Transit): RM125 tiket sehala
- Tambang kelas Ekonomi (Ekspres): RM147 tiket sehala
Stesen Gombak ke stesen Kuala Terengganu
- Tambang kelas Ekonomi (Transit): RM95 tiket sehala
- Tambang kelas Ekonomi (Ekspres): RM110 tiket sehala
Stesen Gombak ke KotaSAS
- Tambang kelas Ekonomi (Transit): RM60 tiket sehala
- Tambang kelas Ekonomi (Ekspres): RM68 tiket sehala
Untuk makluman, tiket kelas Ekonomi bagi laluan Transit bermaksud tren akan berhenti di setiap stesen. Manakala tiket kelas Ekonomi bagi laluan Ekspres pula bermaksud tren akan berhenti di stesen hentian utama sahaja di stesen Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Sekadar info, harga tiket boleh berubah mengikut faktor seperti waktu perjalanan, permintaan dikalangan orang awam dan ketersediaan tempat duduk. Sekaligus memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Tambahan lagi, caj untuk kelas Ekonomi Premium dan kelas Perniagaan tidak dinyatakan oleh pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd.
Tempoh perjalanan ECRL

Perkhidmatan laluan Ekspres dari stesen Gombak ke stesen Kota Bharu dijadualkan mengambil masa kira-kira 4 jam berbanding sehingga 5 jam melalui perkhidmatan laluan transit.
Perjalanan Ekspres ke Kuala Terengganu pula mengambil masa 2 jam 54 minit berbanding 3 jam 51 minit bagi tren laluan Transit, manakala perjalanan Ekspres ke KotaSAS mengambil masa 1 jam 27 minit dan sekitar 2 jam 5 minit bagi perjalanan Transit.
Penjimatan masa ini menyediakan alternatif perjalanan yang terancang dan bebas daripada kesesakan jalan raya, khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.
Diskaun tambang khusus

Diskaun tambang sebanyak 50 peratus diberikan kepada kanak-kanak berumur 2 hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesara kerajaan. Pelajar berumur antara 13 hingga 24 tahun pula layak menerima diskaun tambang sebanyak 40 peratus.
Tarikh operasi dan kekerapan perkhidmatan

Penjualan tiket dijadualkan bermula pada pertengahan November 2026, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan stesen Gombak ke stesen Kota Bharu disasarkan pada pertengahan Disember 2026.
Operasi peringkat awal menggunakan 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan tren berkelajuan sehingga 160 kilometer sejam.
Menawarkan 12 perjalanan sehari pada hari Isnin hingga Khamis untuk enam perjalanan setiap arah, serta 16 perjalanan sehari pada hari Jumaat hingga Ahad dengan lapan perjalanan setiap arah.
Perkhidmatan ini dikendalikan oleh syarikat usaha sama ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), manakala MRL kekal sebagai pemilik projek dan aset.
Kemudahan dan spesifikasi tren

Tren ECRL menawarkan pilihan konfigurasi kelas Ekonomi, Ekonomi Premium, dan kelas Perniagaan dengan kapasiti tren dapat memuatkan antara 409 hingga 425 penumpang. Setiap tren dilengkapi dengan rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat, tempat duduk khas OKU, teknologi komunikasi LTE-Railway (LTE-R), serta sambungan internet 4G/5G dan WiFi sepanjang perjalanan.
Bagi yang ingin mengetahui tentang perjalanan ECRL anda boleh lawati laman sesawang ECRL untuk maklumat lanjut.






