Kalau anda terlepas tempahan awal iPhone Duo minggu lalu, jangan berharap untuk membeli terus secara walk in di Apple Store di The Exchange TRX pada hari Jumaat ini.
Menerusi kemas kini terbaharu di laman web rasmi Apple Malaysia, iPhone Duo di kini disenaraikan hanya tersedia untuk pembelian dalam talian, dengan pilihan penghantaran percuma atau pengambilan di Apple Store.
Dengan kata lain, Apple tidak menawarkan iPhone Duo untuk pembelian terus di Apple Store buat masa ini. Jadi, jika anda tidak mendapatkan unit semasa tempoh pratempahan, tidak perlu beratur semalaman dengan harapan dapat membeli satu pada hari Jumaat ini.
Untuk maklumat anda, iPhone Duo akan mula dijual secara rasmi di Malaysia pada Jumaat ini, 23 Oktober 2026.
Laman web Apple Malaysia nyatakan iPhone Duo hanya dijual dalam talian

Di laman rasmi Phone Duo Apple Malaysia i, terdapat notis yang menyatakan ““iPhone Duo is currently available to buy online only. Get free delivery or pick up at an Apple Store.”
Secara lazimnya, bagi pelancaran produk sebelum ini termasuk iPhone 18 Pro, Apple menyediakan dua barisan berasingan di kedai – satu untuk pelanggan yang membuat prapesanan dan mengambil telefon mereka, manakala satu lagi untuk pembelian secara walk-in.
Namun, dengan kemas kini terbaharu ini, pelanggan disarankan untuk tidak menaruh harapan untuk Apple Store The Exchange TRX menyediakan stok khas untuk pembelian pada hari pelancaran bagi mereka yang belum membuat tempahan.
Notis tersebut muncul beberapa hari selepas MacRumors melaporkan bahawa sesetengah pekerja Apple Store dinasihatkan supaya tidak menggalakkan pelanggan tanpa pra-tempahan iPhone Duo datang ke kedai pada hari pelancaran. Menurut laporan berkenaan, stok iPhone Duo dijangka tidak akan tersedia untuk pembelian walk-in pada 23 Oktober ini.
Tempahan baharu iPhone Duo dianjak sehingga Januari 2027
Jika anda belum membuat tempahan untuk iPhone Duo, pembelian terus daripada Apple nampaknya memerlukan tempoh menunggu yang agak lama. Ketika artikel ini ditulis, tempahan baharu di kedai dalam talian Apple Malaysia menunjukkan anggaran penghantaran bermula pada 22 Januari 2027.
Ini susulan sambutan hangat terhadap iPhone Duo apabila tempahan awal dibuka di Malaysia pada Jumaat lalu, jam 8 malam.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kebanyakan iPhone Duo telah kehabisan stok sejurus tempahan awal dibuka di Malaysia, berdasarkan semakan di pengedar sah Apple dan telco-telco di Malaysia. Walaupun ketersediaan stok bergantung kepada pilihan storan dan pengedar, kelompok pertama untuk pelancaran 23 Oktober didapati amat terhad dalam masa kurang daripada sejam selepas ia dibuka.
Apple melancarkan iPhone Duo di lebih 70 buah negara dan wilayah untuk gelombang pertama pada 23 Oktober ini, termasuk Malaysia. Manakala 28 buah negara dan wilayah lain akan menyusul bermula 30 Oktober.

Dengan pelancaran yang meluas ini, bekalan bagi iPhone Duo dilihat agak terhad. Namubn, apple tidak mendedahkan jumlah sebenar unit yang diperuntukkan bagi tempoh prapesanan atau pecahan stok untuk setiap pasaran.
Untuk maklumat anda, iPhone Duo ditawarkan dalam warna putih dan hitam. Berikut ialah harga rasminya di Malaysia:
- 256GB: RM9,499
- 512GB: RM10,499
- 1TB: RM12,499
- 2TB: RM15,499
Maka, jika anda bercadang untuk beratur di luar Apple Store The Exchange TRX pada awal pagi Jumaat ini dengan harapan untuk membeli iPhone Duo tanpa tempahan, anda boleh melupakan niat tersebut. Pilihan terbaik ketika ini adalah dengan membuat pesanan secara dalam talian dan menantikan kelompok stok yang seterusnya.






