• English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
Close
Home Berita

Penggabungan Maxis-U Mobile: Apa kesannya kepada pengguna di Malaysia?

  • OLEH Putra Aziz
  • 7:44 pm
  • 02/11/2026
  • Komen
Penggabungan Maxis-U Mobile: Apa kesannya kepada pengguna di Malaysia?
Share on FacebookShare on Twitter

Maxis dan U Mobile dilaporkan sedang meneliti semula perbincangan mengenai kemungkinan penggabungan yang berpotensi membentuk syarikat telekomunikasi mudah alih terbesar di Malaysia. Namun, cadangan penggabungan ini turut menimbulkan persoalan tentang persaingan industri dan masa depan model rangkaian 5G dwirangkaian di Malaysia.

Menurut laporan terbaharu Bloomberg, Maxis telah menjemput beberapa bank dan firma guaman terpilih untuk mengemukakan cadangan bagi kemungkinan urus niaga tersebut. Sementara itu, pemegang saham U Mobile dilaporkan mahukan penilaian syarikat sekurang-kurangnya RM10 bilion.



Walaupun kedua-dua syarikat masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi, penggabungan ini berpotensi mengubah landskap industri telekomunikasi Malaysia. Selain persoalan mengenai masa depan dua rangkaian 5G negara, adakah gabungan ini turut memberi kesan kepada pengguna menerusi pilihan pelan yang semakin terhad dan harga yang kurang kompetitif?

Maxis dan U Mobile dilaporkan mulakan semula rundingan penggabungan

Ini bukan kali pertama Maxis dan U Mobile meneroka kemungkinan penggabungan atau pengambilalihan.



Pada Februari 2026, The Edge melaporkan bahawa rundingan peringkat tinggi antara kedua-dua syarikat telah terhenti selepas pemegang saham U Mobile meminta nilai syarikat sebanyak RM14 bilion. Menurut sumber yang mengetahui perkembangan rundingan tersebut, perbincangan telah tertangguh selama kira-kira empat bulan berikutan perselisihan mengenai harga yang diminta, yang disifatkan sebagai terlalu tinggi.

Menariknya, penilaian terkini yang dilaporkan, iaitu sekurang-kurangnya RM10 bilion, lebih rendah daripada harga yang diminta sebelum ini. Namun, belum jelas sama ada transaksi ini akan melibatkan tunai, saham atau gabungan kedua-duanya.

Mengulas mengenai laporan Bloomberg tersebut, Maxis tidak mengesahkan mahupun menafikan rundingan penggabungan berkenaan.

Syarikat telekomunikasi hijau itu menyatakan bahawa mereka sentiasa menilai peluang strategik dan kerjasama yang dapat menambah nilai syarikat. Maxis turut menyatakan bahawa sebarang perkembangan korporat penting akan dimaklumkan kepada pasaran pada masa yang sewajarnya.

Siapa pemilik Maxis dan U Mobile?

Maxis kini dimiliki majoriti oleh BGSM Equity Holdings Sdn Bhd, yang memegang saham sebanyak 62.22%. Antara pemegang saham utama lain termasuk BGSM Management, Binariang GSM, Usaha Tegas dan Saudi Telecom.

Berdasarkan maklumat pegangan saham di laman web Maxis, pemegang saham besar lain termasuk Citigroup Nominees untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (9.16%), AmanahRaya Trustees untuk Amanah Saham Bumiputera (8.03%) dan Citigroup Nominees untuk EPF Islamic (4.04%).

U Mobile pula kini dimiliki majoriti oleh Mawar Setia Sdn Bhd, sebuah syarikat pegangan pelaburan yang diasaskan oleh Tan Sri Vincent Tan dan YAM Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail. Pada Mac 2026, U Mobile mengesahkan bahawa Mawar Setia telah meningkatkan pegangannya kepada lebih 50%, selepas melengkapkan pengambilalihan pegangan saham besar daripada ST Telemedia dari Singapura.

Urus niaga itu menjadikan U Mobile milik majoriti rakyat Malaysia, manakala YAM Tunku Tun Aminah dilantik sebagai Pengerusi baharu menggantikan Tan Sri Dato Seri Vincent Tan.

Menurut rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Affin Hwang Nominees memegang 47.28% saham U Mobile berdasarkan jumlah saham yang disenaraikan, diikuti Straits Mobile Investments sebanyak 23.45%, Sultan Ibrahim sebanyak 11.04% dan Magnum Berhad sebanyak 6.80%.

Maxis-U Mobile boleh menjadi telco terbesar di Malaysia

Penggabungan Maxis-U Mobile berpotensi mencabar kedudukan CelcomDigi sebagai pengendali mudah alih terbesar di Malaysia.

CelcomDigi kini mempunyai 20.3 juta pelanggan setakat suku kedua 2026, manakala Maxis mempunyai 9.98 juta pelanggan pada tempoh yang sama. U Mobile pula dilaporkan mempunyai lebih 9 juta pelanggan pada penghujung 2023.

Jika digabungkan, Maxis dan U Mobile mungkin mempunyai lebih 20 juta pelanggan, dan berpotensi mengatasi CelcomDigi dari segi bilangan pelanggan.

Maxis juga antara pengendali telekomunikasi yang paling menguntungkan di Malaysia, dengan keuntungan bersih RM1.56 bilion bagi tahun kewangan FY2025. Penggabungan boleh membolehkan telco ini meluaskan pangkalan pelanggannya, di samping berpotensi mencapai kecekapan yang lebih tinggi menerusi penyatuan rangkaian dan operasi dalam jangka panjang.

Satu lagi kelebihan yang mungkin diperoleh Maxis ialah kawalan yang lebih besar ke atas infrastruktur dan perkhidmatan rangkaian 5G. Berbeza dengan susunan sedia ada bersama Digital Nasional Berhad (DNB), pengambilalihan U Mobile boleh membolehkan Maxis mengurus sendiri pengembangan rangkaian 5G, peningkatan kapasiti dan pembezaan perkhidmatan. Spektrum sedia ada milik U Mobile juga boleh memberi lebih fleksibiliti untuk mengoptimumkan prestasi dan liputan rangkaian, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia.

Namun, pemilikan dan pengendalian langsung infrastruktur 5G turut membawa perbelanjaan modal dan komitmen operasi yang lebih tinggi kepada Maxis.

Maxis juga merupakan antara syarikat telekomunikasi paling menguntungkan di Malaysia, dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.56 bilion bagi tahun kewangan 2025. Penggabungan ini boleh membolehkan Maxis memperluas pangkalan pelanggannya, selain berpotensi meningkatkan kecekapan operasi melalui penyatuan rangkaian dan operasi dalam jangka panjang.

Satu lagi kelebihan yang mungkin diperoleh Maxis ialah kawalan yang lebih besar ke atas infrastruktur dan perkhidmatan rangkaian 5G. Berbeza dengan susunan sedia ada bersama Digital Nasional Berhad (DNB), pengambilalihan U Mobile boleh membolehkan Maxis mengurus secara terus pengembangan rangkaian 5G, peningkatan kapasiti dan penawaran perkhidmatan yang berbeza. Pegangan spektrum U Mobile juga boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada Maxis untuk mengoptimumkan prestasi dan liputan rangkaian, tertakluk kepada kelulusan pihak pengawal selia.

Namun, pemilikan dan pengendalian langsung infrastruktur 5G turut membawa perbelanjaan modal dan komitmen operasi yang lebih tinggi kepada Maxis.

Adakah penggabungan Maxis-U Mobile bermakna pilihan lebih sedikit untuk pengguna?

Penggabungan boleh mewujudkan kumpulan telco yang lebih kukuh, tetapi lebih besar tidak semestinya lebih baik untuk pengguna.

Ketika ini, Maxis dan U Mobile mempunyai kedudukan yang agak berbeza dalam pasaran mudah alih. Maxis meletakkan dirinya sebagai jenama premium dengan antara pelan pascabayar paling mahal di Malaysia. Sebaliknya, U Mobile membina reputasi sebagai telco yang menawarkan pelan prabayar dan pascabayar mampu milik, dengan kuota data yang besar.

Sebagai pemain ketiga terbesar, U Mobile menjadi alternatif kukuh kepada CelcomDigi dan Maxis. Sekiranya Maxis dan U Mobile bergabung, pasaran telekomunikasi tempatan pada dasarnya akan bertukar menjadi duopoli.

Memang ada pemain lain seperti Yes dan Unifi Mobile, serta beberapa Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO). Namun, gabungan Maxis-U Mobile boleh menjadikan CelcomDigi satu-satunya pesaing yang sama besar.

Ini menimbulkan kebimbangan tentang pengurangan persaingan harga. Dengan bilangan pemain utama yang lebih kecil, tekanan untuk menawarkan pelan lebih murah, kuota data lebih besar dan promosi yang lebih menarik kepada pengguna juga mungkin berkurangan.

Walaupun Maxis dan U Mobile boleh terus beroperasi sebagai jenama berasingan selepas penggabungan, entiti gabungan itu mungkin tidak lagi mempunyai insentif yang sama untuk mengekalkan jurang harga yang ketara antara pelan masing-masing. Ini berpotensi mengurangkan persaingan dan pilihan pengguna.

Penggabungan perlu melalui pemeriksaan pengawal selia

Sebarang perancangan penggabungan tertakluk kepada penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terutamanya bagi menilai isu persaingan pasaran, pegangan spektrum, serta pelaksanaan model dwirangkaian 5G negara. Kesan kawal selia sebegini pernah berlaku sewaktu proses penggabungan Celcom dan Digi sebelum ini.

Pada Jun 2022, MCMC meluluskan penggabungan Celcom-Digi dengan beberapa syarat ketat bagi menjaga persaingan sihat. Antaranya termasuk memulangkan semula spektrum sebanyak 70MHz, mewujudkan unit perniagaan bebas untuk menyokong MVNO, serta melupuskan pegangan jenama Yoodo.

Yoodo akhirnya menjadi ‘mangsa korban’ penggabungan tersebut. Jenama telko digital popular yang terkenal dengan penyesuaian pelan fleksibel itu terpaksa ditamatkan operasinya pada Ogos 2024 selepas CelcomDigi gagal mendapatkan pemilik baharu dalam tempoh yang ditetapkan.

Potensi penggabungan Maxis-U Mobile dijangka berdepan syarat kawal selia yang serupa, termasuk kemungkinan perlu memulangkan sebahagian spektrum bagi memastikan persaingan yang adil dalam pasaran.

Selain itu, timbul persoalan mengenai struktur pemilikan dwirangkaian 5G negara. Maxis kini memiliki pegangan saham dalam DNB, manakala U Mobile pula telah dipilih sebagai pengendali rangkaian 5G kedua. Jika kedua-duanya bergabung, Maxis kemungkinan besar perlu melepaskan pegangan saham dalam DNB bagi mengelakkan pertindihan pemilikan dalam dua rangkaian 5G yang bersaing.

Langkah sedemikian boleh meninggalkan CelcomDigi dan YTL sebagai pemegang saham telco yang tinggal dalam DNB, manakala entiti gabungan Maxis-U Mobile beroperasi di atas rangkaian 5G kedua.

Sekiranya persetujuan berjaya dicapai sekalipun, proses penyelesaian penggabungan ini dijangka mengambil masa yang lama. Sebagai perbandingan, penggabungan Celcom-Digi mengambil tempoh lebih 19 bulan, bermula dari pengumuman rasmi pada April 2021 sehinggalah selesai sepenuhnya pada November 2022.

Persoalan utama kini tertumpu kepada sama ada penggabungan ini benar-benar akan menghasilkan mutu liputan, kualiti servis, dan nilai yang lebih baik buat rakyat Malaysia, atau sekadar melahirkan dua kuasa besar korporat yang kurang berdaya saing dari segi harga.

Tags: 5g5g malaysiadigital nasional berhadDNBmaxisMaxis U Mobileu mobile
Putra Aziz

Putra Aziz

POPULAR

Penggabungan Maxis-U Mobile: Apa kesannya kepada pengguna di Malaysia?

Penggabungan Maxis-U Mobile: Apa kesannya kepada pengguna di Malaysia?

2 November 2026
OPPO perkenal ColorOS 17: Lebih lancar, bawa keupayaan AI ke tahap baharu

OPPO perkenal ColorOS 17: Lebih lancar, bawa keupayaan AI ke tahap baharu

15 October 2026
RedMagic tawar tablet gaming Astra 2 versi rasmi SIRIM di Malaysia dari RM3,399

RedMagic tawar tablet gaming Astra 2 versi rasmi SIRIM di Malaysia dari RM3,399

31 October 2026
CelcomDigi dan ZK Racing Team bekerjasama lahirkan generasi baharu pelumba Malaysia

CelcomDigi dan ZK Racing Team bekerjasama lahirkan generasi baharu pelumba Malaysia

29 October 2026
Honor Pad X7b, tablet 4G mampu milik dengan skrin 2K & bateri 8,000mAh kini di Malaysia

Honor Pad X7b, tablet 4G mampu milik dengan skrin 2K & bateri 8,000mAh kini di Malaysia

30 October 2026
iPad Mini 2026 Malaysia: Skrin OLED 8.5″, cip A20 Pro & iPad pertama kalis air

iPad Mini 2026 Malaysia: Skrin OLED 8.5″, cip A20 Pro & iPad pertama kalis air

27 October 2026

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com
Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com – Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN