Belum sempat Redmi Note 7 dilancarkan di Malaysia, pencabarnya telah mula mengumumkan ketibaannya. Realme 3 yang baru dilancarkan di India minggu lepas, kini menyatakan akan mula memunculkan diri di Malaysia dalam masa dua minggu lagi.
Pelancaran Realme 3 di Malaysia akan diadakan pada 21 Mac 2019, dua hari selepas Redmi Note 7 dilancarkan di Malaysia.
Semasa pelancarannya di India, Realme membandingkan Realme 3 mereka dengan Redmi Note 7 versi India. Walaupun ada beberapa kelemahan, Realme 3 masih ada kelebihan berbanding Redmi Note 7, termasuk pada harganya.
Dari tinjauan kami, Redmi Note 7 yang akan tiba di Malaysia ialah versi China, bukannya India. Memandangkan harga Realme 3 di India lebih murah dari Redmi Note 7 versi India yang kurang berkuasa dari versi China, dijangkakan Realme 3 Malaysia akan jauh lebih murah dari Redmi Note 7 kelak.
Prestasi Realme 3 digerakkan oleh cip Mediatek Helio P70 12nm, dengan pilihan RAM 3GB dan storan 32GB, atau RAM 4GB dan storan 64GB. Ia memiliki tiga slot kad, dua untuk kad sim nano dan satu lagi untuk kad mikroSD untuk storan tambahan sehingga 256GB.
Skrinnya berukuran 6.2-inci bertakuk kecil titisan air, dalam nisbah 19:9. Resolusi skrin ini hanya HD+ dan ia diselaputi kaca Corning Gorilla Glass 3.
Untuk kamera, Realme 3 dilengkapi dua lensa di belakang iaitu lensa 13MP F1.8 dan lensa pengesan kedalaman 2MP. Kamera ini dilengkapi fungsi Nightscape yang membolehkan tangkapan waktu malam, lebih terang dan tajam. Ia dikatakan pertama seumpamanya dalam peranti dengan julat harganya.
Kamera hadapan pula, ia menggunakan lensa 13MP F2.0 dan menyokong sistem pengecaman wajah bagi membuka kunci skrin. Pengimbas capjari fizikal terdapat di belakang badan Realme 3.
Bateri Realme 3 juga cukup besar dengan kapasiti 4,230mAh. Tetapi ia masih menggunakan sambungan mikroUSB untuk mengecas. Satu kekurangan berbanding Redmi Note 7 yang menggunakan USB-C dan menyokong pengecasan pantas Quick Charge 4. Nasib baik, Realme 3 masih memiliki jek audio 3.5mm.
Realme 3 datang dengan antaramuka ColorOS 6.0 berasaskan Android 9.0 Pie. Berita baik untuk kaki custom ROM, Realme 3 tidak dikunci bootloader-nya. Bermakna, anda boleh mengubah ROM Realme 3 kepada OS lain. Tetapi tanggung risikonya sendiri jika apa-apa terjadi nanti.
Untuk perbandingan, Realme 3 dijual di India pada harga:
- Realme 3 RAM 3GB + Storan 32GB – INR8,999 (~RM517)
- Realme 3 RAM 4GB + Storan 64GB – INR10,999 (~RM632)
Di Malaysia, kami jangka ia akan berharga RM599 untuk model 3GB/32GB dan RM699 bagi model 4GB/64GB. Nantikan maklumat lanjut dari kami pada hari pelancarannya di Malaysia kelak.