Minggu lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mengalami gangguan sistem. Ia menyebabkan beberapa perkhidmatan utama tidak dapat beroperasi seperti pendaftaran masuk, pagar perlepasan, penghantaran bagasi dan sambungan WiFi.
Menurut Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) yang menguruskan KLIA, masalah rangkaian telah dikenalpasti sebagai punca gangguan berlaku. Baikpulih telah dilakukan dan kini ia telah kembali stabil.
Pagi ini, Telekom Malaysia (TM) telah berkongsi ciapan memaklumkan #khabarbaik di mana TM telah memberi bantuan sokongan kepada KLIA. TM telah memasang beberapa unit Unifi AIR di lokasi utama di KLIA.
Unifi AIR merupakan perkhidmatan internet yang menggunakan rangkaian 4G LTE TM yang mudah dipasang. Hanya hidupkan modem Unifi AIR dan pengguna sedia bersambung padanya dan menggunakan internet. Sehingga 64 peranti boleh bersambung ke Unifi AIR dalam masa yang sama.
Bantuan sokongan Unifi AIR ini disediakan untuk penggunaan petugas KLIA serta memberikan sambungan internet kepada penumpang dan pengunjung KLIA.
Walaupun sistem di KLIA telah beransur pulih, penumpang penerbangan di KLIA dinasihatkan untuk membuat daftar masuk secara online, menerusi aplikasi atau laman web penerbangan. Penumpang juga digalakkan untuk datang 4 jam lebih awal.
Orang ramai boleh menghubungi khidmat bantuan CARE Ambassador di talian 03 8776 2000 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penerbangan. Dapatkan juga berita terkini menerusi Facebook Malaysia Airports dan twitter @MY_Airports.