Menurut kebiasaan, Samsung akan melancarkan siri Galaxy A yang baru selepas tahun baru di Malaysia. Sebelum itu, ia akan diperkenalkan di satu tempat lain sebelum tiba di Malaysia. Untuk kali ini, Vietnam terpilih sebagai lokasi pertama siri terbaru Galaxy A 2020 akan dilancarkan.
Pelancaran Galaxy A 2020 di Vietnam akan diadakan pada 12 Disember 2019. Dari beberapa khabar yang kami terima, model baru ini akan memiliki nombor 1 pada hujungnya. Pengganti untuk Galaxy A50s akan dikenali sebagai Galaxy A51 manakala pengganti Galaxy A70s pula dipanggil Galaxy A71.
Dari gambar yang dikongsikan oleh Samsung Vietnam ini, ia mengesahkan bahawa model baru Galaxy A ini akan menampilkan lubang di tengah atas skrin untuk memuatkan kamera hadapan. Ia kelihatan serupa dengan siri Galaxy Note 10.
Seperti sebelumnya, model ini juga dijangka akan dilengkapi skrin Super AMOLED bersama pengimbas capjari di dalam skrin.
Pembocor berita terkenal, @OnLeaks sebelum ini telah berkongsi satu gambaran tentang siri Galaxy A 2020. Ia memiliki bonjol kamera belakang yang sangat tebal, kelihatan serupa dengan Pixel 4 dan Honor View 30.
Dikhabarkan juga, semua model baru ini akan dipasang dengan sekurang-kurangnya 3 kamera di belakang. Ia mungkin juga dilengkapi dengan kamera utama 108MP serta kamera telefoto dengan 2x zum optikal untuk model premium.
Siri Galaxy A serba baru pertama kali diperkenalkan pada bulan Februari 2019. Model yang diperkemaskini “s” pula dilancarkan pada bulan Ogos 2019. Siri baru ini menjadi titik utama di mana Samsung mula menawarkan spesifikasi yang lebih baik dengan skrin dan bateri besar pada harga lebih rendah. Ia juga menggantikan siri Galaxy J yang kelihatan terlalu mahal apabila dibandingkan dengan model keluaran pembuat dari China.
Sumber: Sammobile