Xiaomi baru sahaja melancarkan telefon pintar flagship mereka, Mi 10 dengan pelbagai teknologi terkini dan prestasi tertinggi. Selain menggunakan perkakas baru berkuasa tinggi seperti cip Snapdragon 865, RAM LPDDR5 dan storan UFS3.0, Xiaomi turut menggunakan beberapa teknologi yang dicipta dari syarikat berkaitan mereka.
Sejak beberapa tahun lepas, Xiaomi telah melabur di dalam banyak syarikat teknologi. Salah satu darinya adalah Navitas, syarikat cip Gallium nitride (GaN) yang menjadi pembekal kepala pengecas pantas 65W yang datang bersama Mi 10 Pro. Begitu juga dengan teknologi pengecasan wayarles pantas 30W dan pengecas wayarles berbalik 10W, juga dari syarikat yang dilabur Xiaomi.
Selain syarikat start-up, Xiaomi juga melabur di dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Shanghai seperti syarikat cip IoT di Shanghai, Expressif. Satu lagi syarikat tersebut ialah Amlogic, syarikat yang pakar dalam penciptaan cip multimedia serta reka bentuk semikonduktor fabless yang terkemuka di dunia.
Secara ringkasnya, Xiaomi memiliki pasukan R&D tersendiri, melabur di dalam syarikat pengeluar cip luar dan berkerjasama rapat dengan pelbagai syarikat pembuat cip. Ia menjadi asas teguh dan model dalam pembangunan teknologi Xiaomi untuk jangka masa panjang, terutama di dalam teknologi 5G.
Presiden dan Pengasas Xiaomi, Lei Jun menyatakan, Xiaomi memiliki dana industri khusus untuk pelaburan di pelbagai sektor termasuk pembuatan peranti pintar, industri robot, semikonduktor dan perkakas termaju.
Xiaomi kini dilihat mahu bersaing menjadi pengeluar peranti tercanggih, bukan lagi peranti berkuasa tinggi yang mampu milik semata-mata. Walaupun masih rendah berbanding jenama lain, harga telefon pintar Mi 10 telah melonjak jauh berbanding Mi 9 semasa pelancarannya.
Adakah anda menyokong model pengeluaran Xiaomi seperti ini, atau mahu Xiaomi kembali dengan model asal “prestasi tinggi yang sangat murah?”.