Samsung hari ini telah mengeluarkan jemputan ke majlis Samsung Unpacked 2020. Majlis pelancaran ini akan diadakan secara maya, menerusi siaran langsung yang boleh ditonton orang ramai pada 5 Ogos 2020, pukul 10 malam waktu Malaysia. Ia akan disiarkan di laman web Samsung Malaysia.
Pada majlis ini, Samsung akan melancarkan beberapa produk baru keluarannya. Satu model yang pasti dilancarkan adalah generasi baharu siri Galaxy Note, dijangka membawa nama Galaxy Note 20. Selain itu, ada khabar mengatakan Samsung akan turut memperkenal generasi kedua tablet dengan skrin boleh lipatnya, Galaxy Fold 2.
Orang ramai yang berminat dan mahu menjadi terawal menerima notis dari Samsung mengenai acara ini, boleh mendaftar minat di laman mikro Samsung Unpacked 2020. Seperti biasa, Malaysia boleh dijangka sebagai pasaran terawal telefon terbaru Samsung.
Dari gambar yang dikongsikan Samsung, ia seakan mengesahkan gambar Galaxy Note 20 yang terbocor sebelum ini. Secara rasmi, Samsung belum menunjukkan sebarang rupa rasmi tentang peranti terbaru mereka yang belum dilancarkan. Tetapi secara tidak rasmi, gambar telefon berwarna Mystic Bronze yang sama telah ditemui di laman web Samsung Rusia dan Ukraine.
Dari gambar itu, dapat dilihat kamera belakang yang sangat tebal, menggandingkan tiga kamera. S Pen juga dilihat serupa dengan satu butang padanya. Selain itu, butang kuasa dan kawalan bunyi kini terletak di sisi yang sama, di mana biasanya Samsung sebelum ini meletakkan butang kuasa di sisi kanan dan butang kawalan bunyi di sisi kiri.
Sebelum itu, pembocor berita @OnLeaks pernah berkongsi gambaran Galaxy Note 20 yang sangat serupa, dihasilkan dari maklumat yang beliau terima. Galaxy Note 20 dikhabarkan tidak akan dilengkapi fungsi Space Zoom 100x seperti di Galaxy S20 Ultra tetapi masih menggunakan sensor Bright HM1 108MP.