Rakyat Malaysia perlu menunggu sedikit masa lagi untuk bantuan RM50 e-Penjana dimasukkan ke dalam dompet elektronik mereka (e-Wallet). Menteri Kewangan, Tengku Zafrul mengatakan bahawa bantuan tersebut akan dikreditkan pada hujung bulan ini.
Beliau menerangkan perkara tersebut dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tekun Nasional. Cara bagaimana bantuan tersebut dimasukkan ke dalam e-Wallet pengguna juga akan diumumkan kemudian.
Pada awal bulan Jun lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan e-Penjana berupa kredit RM50 ke dalam e-Wallet rakyat Malaysia yang berkelayakan, dengan tambahan RM50 lagi dalam bentuk baucar, pulangan tunai, serta diskaun.
Beberapa hari kemudian, Menteri Pertahanan, Dato Seri Ismail Sabri pula menyatakan, pemberian RM50 e-Penjana ke dalam e-Wallet akan diberikan selepas pengguna memuat turun aplikasi MySejahtera. Ini mengakibatkan orang ramai berpusu-pusu memuat turun aplikasi MySejahtera tetapi hampa kerana tidak menyedari bahawa pemberian akan dibuat pada bulan Julai.
Pada awal tahun ini, kerajaan Pakatan Harapan telah melaksanakan program yang hampir serupa iaitu pemberian e-Tunai Rakyat yang memberi kredit RM30 ke dalam salah satu dari penyedia perkhidmatan e-Wallet terpilih iaitu Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet. Ia hanya diberikana kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang dari RM100,000 setahun.
Pilihan kerajaan untuk menjadikan pendaftaran MySejahtera sebagai syarat mendapatkan bantuan e-Penjana agak mengelirukan kerana ia bukanlah aplikasi kewangan atau perbankan digital. Aplikasi MySejahtera digunakan sebagai cara mudah daftar masuk kedai atau premis bangunan, untuk pengesanan pantas jika berlakunya penyebaran wabak COVID-19.
Orang ramai perlu bersabar sedikit masa lagi sebelum dapat mengetahui apakah cara untuk mendapatkan bantuan e-Penjana dan bilakah ia akan disalurkan oleh kerajaan.
Sumber: Berita Harian