Telefon gaming terbaru Asus, ROG Phone 3 dikhabarkan akan dilancarkan di Malaysia seawal minggu hadapan. Telefon yang dilengkapi pemproses Snapdragon 865+ bersama skrin 144Hz ini telah dilancarkan di peringkat antarabangsa pada bulan Julai lepas.
Perkara ini dikongsi oleh penjual peranti DirectD, di mana mereka akan mula menjual set rasmi Malaysia ROG Phone 3 pada 5 September 2020, pukul 9.30 malam. Tiada harga dimaklumkan tetapi ia akan diumumkan menerusi Facebook Live Asus Malaysia pada hari yang sama.
Asus sebelum ini menyatakan akan terdapat tiga varian ROG Phone 3 yang dijual Malaysia iaitu:
ROG Phone 3 Strix (5G)
– Pemproses Snapdragon 865, RAM 8GB RAM, Storan 256GB storage
ROG Phone 3 (5G)
– Pemproses Snapdragon 865+, RAM 12GB RAM, Storan 512GB storage
– Pemproses Snapdragon 865+, RAM 16GB RAM, Storan 512GB storage
Harga jualannya pula dikatakan akan hampir dengan harga pelancaran ROG Phone II. Varian asas ROG Phone II Strix dengan RAM 8GB dan storan 128GB berharga RM2,499. Manakala varian dengan RAM 12GB dan storan 512GB berharga RM3,499 manakala storan 1TB pula berharga RM4,499.
Asus Malaysia turut menerangkan terdapat banyak perbezaan antara set Malaysia dengan set China. Antaranya kotak berbentuk Prisma, kipas penyejuk AeroActive Coolcer 3 dan kabel USB-C bersirat.
Jika belum kenal, ROG Phone 3 menampilkan skrin AMOLED HD Penuh berukuran 6.59-inci, dengan kadar penyegaran setinggi 144Hz. Selain pemproses Snapdragon 865+, ia menggunakan RAM LPDDR5 serta storan UFS3.1 untuk memberikan prestasi tertinggi.
Bateri di dalamnya antara terbesar di pasaran, berkapasiti 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 30W melalui USB-C. Speaker stereo yang menembak bunyi terus ke muka, dipasang di bawah dan atas skrin.
Antara perkakas yang hadir bersama di dalam kotak adalah kiaps penyejuk AeroActive Cooler 3. Jek audio 3.5mm tidak lagi terdapat pada telefon ini, tetapi ia boleh ditambah dengan memasang kiaps penyejuk ini.
Kamera di belakang telefon ini kini bertambah kepada tiga. Ia gabungan kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 5MP. Kamera hadapannya pula 24MP, terletak di bingkai atas skrin menjadikan skrinnya penuh tanpa lubang dan takuk.
Kenali ROG Phone 3 dengan lebih mendalam menerusi video buka kotak kami di bawah ini.
Sumber: DirectD