Di samping melancarkan telefon pintar OnePlus 8T, OnePlus turut memperkenal fon kepala terbaru mereka, OnePlus Buds Z. Ia adalah fon kepala TWS yang lebih murah dari OnePlus Buds, jadi terdapat beberapa pengurangan padanya.
OnePlus Buds Z memiliki rekaan seperti AirPods Pro, tetapi bekas pengecasnya tidak lagi membujur ke bawah. Ia menggunakan getah penyumbat dalam telinga yang boleh diganti, dan datang bersama tiga saiz getah.
Fon kepala ini memiliki hayat bateri sehingga 5 jam untuk memainkan lagu, atau sehingga 20 jam bersama bekas pengecas. Mengecas 10 minit pula memberikan masa memain muzik sehingga 3 jam. Hayat bateri ini lebih pendek dari OnePlus Buds, yang memiliki masa bermain muzik sehingga 30 jam bersama bekas pengecas.
Sistem bunyi pula dihasilkan menerusi pemacu audio dinamik 10mm. Ia ditambah teknologi Bass Boost untuk memberikan bunyi bass yang lebih mendalam. Jika digunakan bersama peranti OnePlus yang serasi, mod Fnatic membolehkan kependaman serendah 103ms, memastikan bunyi yang tepat didengari pada masanya, terutama ketika bermain permainan video.
Kelebihan OnePlus Buds Z berbanding OnePlus Buds adalah ia kalis percikan air dan peluh IP55. Ini menjadikannya fon kepala yang lebih sesuai digunakan semasa aktiviti kecergasan, atau berjalan di bawah hujan renyai.
Kawalan arahan boleh dilakukan terus dari fon kepala menerusi ruang peka sentuhan. Berhenti memainkan lagu, melangkau lagu atau menjawab panggilan, hanya perlukan satu sentuhan pada permukaan OnePlus Buds Z. Ia juga boleh berhubung dengan Google Assistant untuk bertanya soalan tanpa mengeluarkan telefon pintar.
Sambungan Bluetooth 5.0 menghubungkan OnePlus Buds Z dengan peranti, sehingga 10 meter jauh. Ia menyokong fungsi Quick Pair dan Quick Connect, cara pantas memadankannya dengan telefon pintar Android semudah membuka bekas pengecas dan ia terus terpapar di skrin telefon.
Tiada fungsi penyaring hingar aktif (ANC) terdapat di OnePlus Buds Z tetapi ia menyediakan algoritma pengurangan bunyi bising ketika membuat panggilan, menerusi 2 mikrofon terbina di dalam.
Terdapat dua warna disediakan untuk OnePlus Buds Z, putih dan kelabu. Ia juga dihasilkan dalam rekaan edisi terhad, dihasilkan dengan kerjasama artis seni Steven Harrington.
OnePlus Buds Z dijual di Amerika Syarikat pada harga USD 49 (~RM203), lebih murah dari OnePlus Buds yang berharga USD 79 di sana. Untuk perbandingan, OnePlus Buds dijual di Malaysia pada harga RM399.
OnePlus Malaysia akan melancarkan OnePlus 8T di Malaysia pada 22 Oktober. Mereka tidak menyebut tentang OnePlus Buds Z tetapi ia mungkin akan tiba bersama kelak.