Galaxy S9 dilancarkan pada penghujung Februari yang lalu dan tempahan untuk pasaran Malaysia sudahpun dimulakan pada 7 Mac. Tapi sebelum anda membelinya, sudah tentu anda ingin melihat pada prestasi terutama pada kameranya bukan?
Dalam artikel ini kami lakukan 5 ujian pelbagai keadaan untuk melihat sejauh mana hebatnya kamera telefon ini. Lima ujian itu adalah:
- HDR
- Keadaan Malap
- Ketajaman
- Makro
- Warna
Kemudian, kami bandingkan hasilnya dengan gambar daripada tiga telefon:
- Apple iPhone X
- Huawei Mate 10 Pro
- Samsung Galaxy S8+
Mari kita terus ke ujian-ujian tersebut.
1. HDR
Selain situasi malap, backlight juga adalah musuh utama pada kamera bersensor kecil. Hal ini kerana, belakang subjek yang terlalu terang membuatkan telefon gagal untuk merakam butiran subjek sebaliknya ia akan dibanjiri cahaya dari belakangnya.
Dalam gambar di bawah, salah satu menara peninjau di Fira Montjuic, Bercelona berada di hadapan matahari. Titik dedahan (exposure) ditetapkan pada menara itu dan gambar ditangkap.
Hasilnya adalah seperti berikut:
- A – Galaxy S8+
- B – Galaxy S9
- C – iPhone X
- D – Mate 10 Pro
Dalam himpunan gambar yang telah dizum, kesemua telefon kecuali iPhone X berjaya menangkap butiran terperinci pada dinding menara. Jika anda melihat pada gambar resolusi besar, kelihatan perincian pada bata serta tiang menara yang mungkin sukar dilihat pada sampel iPhone X.
Walau bagaimanapun, kedua-dua Galaxy S8+ dan Galaxy S9 berjaya merekod warna merah batu bata dengan paling tepat.
2. Keadaan Malap
Seperti biasa, sensor kecil amat gerun akan keadaan malap. Mereka terpaksa meningkatkan kesensitifan ISO ataupun memperlahankan kelajuan pengatup demi membenarkan cahaya secukupnya ditangkap oleh sensor pengimejan.
Tapi, tindakan-tindakan itu ada risikonya. ISO yang tinggi membuatkan tahap hingar (noise) gambar yang tinggi manakala kekaburan boleh berlaku apabila kelajuan pengatup yang perlahan digunakan.
Makanya, kamera perlu mencari titik ekuilibrium antara keduanya bagi menghasilkan gambar yang terbaik.
- A – Galaxy S8+
- B – Galaxy S9
- C – iPhone X
- D – Mate 10 Pro
Mate 10 Pro menghasilkan imej yang paling pudar dalam gambar ini. Manakala baki tiga telefon lain berjaya merakam gambar dengan ketajaman yang baik lebih-lebih lagi pada frasa “Serving Suggestion”.
Tahap hingar (noise) pada Galaxy S9 dan iPhone X lebih tinggi berbanding daripada lensa Galaxy S8+. Ia agak pelik kerana data EXIF, Galaxy S8+ menggunakan ISO paling tinggi iaitu ISO 400 berbanding iPhone X hanya menggunakan ISO 160 dan Galaxy S9 ISO 320.
Dalam kategori ini, Galaxy S8+ berprestasi lebih baik berbanding tiga yang lain.
3. Ketajaman
Dalam situasi cukup pencahayaan, kaca pada lensa memainkan peranan yang amat penting untuk menghasilkan imej yang tajam. Dalam ujian ini, kami mengambil sampel foto Plaça d’Espanya untuk melihat sejauh mana kemampuan kaca-kaca optik telefon menangkap perincian bata pada banggunan ini.
- A – Galaxy S8+
- B – Galaxy S9
- C – iPhone X
- D – Mate 10 Pro
Dalam ujian ini, iPhone X cemerlang daripada segi merakam butiran serta penghasilan warna. Cuba anda bandingkan hasil dari iPhone X dengan Mate 10 Pro. Gambar daripada flagship Huawei itu agak mendatar dan perincian agak kabur.
Untuk Galaxy S9 pula, penghasilan warnanya lebih baik berbanding Galaxy S8+ yang kelihatan agak jingga.
[nextpage title=”Makro, Warna & Kesimpulan”]
4. Makro
Dalam ujian makro, kami ambil sebuah slider yang mempunyai garis ukuran pada landasannya. Kemudian, kami tambat kamera pada landasan itu. Bermula di hujung landasan (0 mm) kami ambil gambar cetakan yang ditampal di dinding di hadapan kamera.
Kemudian kami bergerak 5mm kebelakang hinggalah tiba ke senggatan ke 50mm.
Tujuan ujian ini adalah untuk mencari jarak fokus paling hampir yang mampu dicapai kamera. Hasilnya adalah seperti berikut:
Galaxy S9, Galaxy S8+, dan Mate 10 Pro masing-masing mempunyai jarak minimum fokus yang baik iaitu pada senggatan ke 10mm. iPhone X pula berjaya membidik fokus pada kedudukan 30mm dari landasan slider.
Kemudian,terdapat perbezaan kualiti gambar pada Galaxy S9 bila menggunakan apertur F1.5 dan F2.4. Seperti yang dijangka, F1.5 akan memberikan kedalam medan fokus yang lebih cetek, sebab itu pada 0mm, hasil pada F2.4 lebih tajam berbanding F1.5.
5. Warna
Bagaimana seseorang itu menterjemah warna adalah amat subjektif. Ia berkaitan dengan estetikay ang tak boleh diukur secara saintifik. Maka, untuk ujian warna saya tidak boleh memberi analisis yang konkrit tentang kamera mana yang lebih baik penghasilan warnanya.
- A – Galaxy S8+
- B – Galaxy S9
- C – iPhone X
- D – Mate 10 Pro
Yang pastinya, Glaaxy S9, Galaxy S8+ dan iPhone X menghasilkan warna yang terang tetapi iPhone X lebih kearah suam kejingaan. Metering Mate 10 Pro pula agak kearah underexpose yang menyebabkan gambar kelihatan agak gelap walaupun ujian dilakukan dalam keadaan terkawal.
Bonus: Landskap
Ini adalah bonus untuk anda yang membaca sehingga ke akhir. Mari kita lihat sampel landskap daripada keempat-empat kamera.
Galaxy S8+ – Tekan untuk resolusi besar
Galaxy S9 – tekan untuk resolusi besar
iPhone X – tekan untuk resolusi besar
Mate 10 Pro – tekan untuk resolusi besar
Metering pada Galaxy S9 lebih berada dalam daerah suam sama seperti Galaxy S8+ dan Mate 10 Pro. Tapi pada iPhone X pula ia lebih sejuk lebih-lebih lagi pada bahagian langit. Tambahan pula, ketajaman yang ditonjolkan iPhone X lebih tinggi terutama pada perkataan “STOP” dan juga cermin banggunan disebelah kiri.
Kesimpulan
Selain dalam ujian HDR, Galaxy S9 tidaklah jauh bezanya berbanding kamera lain. Tapi ia tidaklah bermakna Galaxy S9 tewas dalam lapangan kamera kerana perlu diingatkan yang sejak Galaxy S7, telefon ini dilengkapi dengan mekanisme autofokus Dual Pixel.
Ia adalah pembidik fokus paling pantas setakat ini dalam telefon pintar dan kejituan memburu fokus pada siri Galaxy tidak boleh dicabar sehingga hari ini. Ditambah pula dengan keupayaan video slow-motion 960fps, kamera pada Galaxy S9 memang cemerlang.