Kementerian Pengangkutan dibawah kelolaan YB Wee Ka Siong dilapor telah memansuhkan pelepasan polisi cabotage terhada kapal baik pulih kabel dasar laut. Tindakan tersebut menerima kritikan hebat daripada pembangkang kerana ia akan memberi kesan pada kualiti Internet di Malaysia.
Isu tersebut telah mencetuskan perbahasan panjang lebar dalam sidang Parlimen sesi 24 November 2020.
Menurut YB Wee, keputusan pemansuhan tersebut diambil selepas beberapa pertimbangan. Antaranya adalah:
- Mengurangkan aliran keluar tunai kepada syarikat luar
- Mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan luar dengan cara memperkasa industry perkapalan tempatan.
- Memacu pertumbuhan kepakaran tempatan
- Melindungi kedaulatan perairan Malaysia
YB Wee juga memberitahu Parlimen yang polisi cabotage ini telah diamalkan di 91 negara termasuklah jiran kita, Indonesia dan Fillipina. Amerika Syarikat juga mengamalkan cabotage walaupun diangkat sebagai negara yang mengamalkan dasar pasaran terbuka.
Menurut YB Wee lagi, sabanyak 2 pertemuan telah diadakan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Marin, SKMM, Telekom Malaysia, Time Dotcom, dan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), masing-masing pada 8 September 2020 dan 8 Oktober 2020.
Tekan beliau, keputusan yang telah diambil bukanlah semberono seperti yang dilaporkan media. Ia selepas mengambil kira hal-hal berkaitan dan perbincangan bersama pihak-pihak yang terlibat.
YB Anthony Loke tidak berpuas hati
Bekas Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke tidak berpuas hati dan bertanyakan kepada YB Wee, bagaimanakah dia boleh katakan yang Malaysia miliki keupayaan untuk selenggara kabel dasar laut sedangkan pemain tempatan cuma miliki tongkang untuk hamparkan kabel dasar laut, dan bukannya membaiki.
Pengecualian cabotage cumalah diberikan kepada kapal membaiki kabel dan sementara menunggu pemain tempatan beroleh kapal yang sesuai, keputusan kerajaan terdahulu boleh mempercepat proses membaiki kabel dasar laut.
Menurut YB Anthony, purata 27 hari diperlukan untuk membaiki kabel di Malaysia. Sebab itulah pengecualian cabotage diumumkan dan secara tak langsung telah menarik pelaburan luar seperti Facebook dan Google. Untuk membaiki kabel dasar laut dalam, kapal jenis DP2 diperlukan, tapi kelengkapan itu tiada di sini.
Tambah YB Anthony, keputusan pemansuhan kerajaan sekarang cuma akan menguntungkan sebelah pihak dan tidak menguntungkan negara.
YB Wee menjawab
YB Wee berkongsi dengan dewan yang setakat ini ada 19 kabel dasar laut dan 2 lagi dalam proses didaratkan di Malaysia. Sekiranya terdapat masalah pada salah satu kabel, proses rerouting akan dijalankan. Berkenaan tempoah yang terlalu panjang untuk membaiki, pihaknya membenarkan permohonan permit dilakukan secara dalam talian.
YB Athony tidak menerima jawapan tersebut kerana isunya bukanlah rerouting, sebaliknya Malaysia tidak miliki peralatan yang betul untuk melakukan selenggara.
YB Gobind Singh mencelah
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh mencelah dengan mengingatkan YB Wee yang 27 hari adalah satu tempoh yang panjang untuk negara kita membaik pulih kabel dasar laut. Keputusan mengecualikan cabotage diambil selepas mempertimbang permohonan pemain dalam bidang teknologi.
YB Gobind menyatakan yang sekiranya YB Wee rasakan proses rerouting adalah jalan penyelesaiannya, maka Menteri Pengangkutan langsung tidak memahami masalah yang berlaku.
Anda boleh tonton insiden tersebut bermula di 3:01:10.
[Sumber: SoyaCincau]