Menjalankan salah satu tanggungjawab sosial korporat atau CSR, Maxis memiliki 118 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh Malaysia. Bagi memberi lebih fungsi kepada pusat tersebut, Maxis melengkapkan 45 PI1M dengan program pembelajaran lepas sekolah digital, yang dikenali sebagai Maxis eKelas.
Bagi meraikan mereka yang terlibat dalam program ini, Maxis menyediakan Anugerah Gemilang eKelas kepada pelajar yang menunjukkan peningkatan yang terbaik dalam pelajaran mereka.
Anugerah ini diberikan kepada peserta yang menunjukkan peningkatan dalam pelajaran selepas menyertai program Maxis eKelas di PI1M. Seramai 11 pelajar diraikan dalam satu acara yang diadakan di Kuala Lumpur. 3 dari mereka menunjukkan peningkatan gred dalam tiga subjek yang diajar di Maxis eKelas.
Lapan lagi pelajar telah menunjukkan peningkatan dalam dua mata pelajaran dan mengekalkan gred yang sama dalam satu mata pelajaran lain. Mereka masing-masing dianugerahkan sumbangan wang tunai bernilai RM600 ke Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia mereka dan juga menerima pek permulaan sekolah.
Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pelajar yang berjaya. Antara penerima Anugerah Gemilang eKelas adalah Muhammad Aqil Danial bin Ramzu Nazri, pelajar Tingkatan 2 dari PI1M Kg Semuba di Kota Bahru serta Thirunyanam A/L Thamby Raja, pelajar Tingkatan 4 dari PI1M Kg Muhibbah, Puchong.
Maxis melancarkan portal eKelas tahun lepas, memberikan pelajar akses kepada sumber pembelajaran berasaskan awan, yang membolehkan mereka belajar mengikut tempo masa masing-masing. Pelajar boleh menguruskan pembelajaran mereka dan pada masa yang sama, bekerjasama untuk menimba ilmu. Portal ini adalah tambahan kepada tutorial langsung, dimana pelajar dapat berinteraksi dengan guru melalui penstriman video.
Maxis eKelas adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar di kalangan masyarakat luar bandar dan bandar. Fokusnya ialah pada tiga mata pelajaran – Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. eKelas menawarkan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran dalam kumpulan dan kandungan digital secara interaktif yang selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan.
Setakat ini Maxis eKelas mempunyai 4,000 pelajar berdaftar. Maxis mensasarkan untuk mendaftar 10,000 pelajar menjelang akhir tahun 2018.