Apple tidak lagi sertakan kepala pengecas atau fon telinga bersama iPhone yang dijual sejak tahun 2020. Dikatakan bahawa perubahan tersebut dilakukan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memelihara bahan mentah.
Namun, sekumpulan pelajar universiti di China dari Beijing dan Shanghai telah memfailkan saman berjumlah 100 Yuan iaitu kira-kira RM64.83 terhadap Apple dan meminta syarikat itu menyediakan pengecas untuk iPhone 12 Pro Max yang dibeli oleh salah seorang dari mereka.
Semasa perbicaraan dalam talian di Mahkamah Internet Beijing, pelajar tersebut telah berhujah bahawa kabel USB-C ke Lightning yang terdapat dalam kotak iPhone 12 tidak serasi dengan pengecas lain di pasaran. Itu menyebabkan mereka tidak dapat mengecas telefon seperti yang diiklankan di laman web Apple.
Seorang wakil dari Apple berkata, menjadi perkara biasa untuk pengeluar telefon menjual telefon pintar dan kepala secara berasingan. Tetapi pelajar tersebut mengatakan bahawa ,beberapa pengeluar telefon di China menawarkan pakej beserta dan tanpa kepala pengecas untuk dipilih oleh pengguna. Mereka juga berhujah bahawa Apple hanya menggunakan kebimbangan alam sekitar sebagai alasan untuk mempromosikan pengecas MagSafenya.
Kedua-dua pihak sedang dalam proses membekalkan bukti tambahan kepada mahkamah. Di samping itu, ramai pengguna internet telah menyatakan sokongan kepada pelajar tersebut untuk mempertahankan kepentingan pengguna. Ada yang berkata mereka terpaksa membeli kepala pengecas baru apabila mereka naik taraf kepada iPhone 12. Ada juga yang bimbang jika Apple meningkatkan kos pembelian jika mereka diminta memberikan kepala pengecas percuma.
Selain itu, terdapat juga keraguan bahawa Apple sebenarnya melakukan perkara ini untuk mengurangkan kos, bukan untuk menyelamatkan alam sekitar. Peralihan kepada 5G boleh menjadikan iPhone lebih mahal untuk dihasilkan. Maka, mereka menawarkan aksesori iPhone untuk dibeli secara berasingan bagi menambah keuntungan.
Sebelum ini, pihak berkuasa Brazil telah keluarkan saman berjumlah BRL 10.5 juta (RM 7.86 juta) terhadap Apple di atas beberapa kesalahan, termasuklah kerana ketiadaan kepala pengecas bersama setiap unit iPhone 12. Apple telah diminta pihak pendakwa untuk menjawab persoalan sama ada terdapat perbezaan harga bila iPhone 12 dilancarkan dengan blok pengecas dan tanpa blok pengecas. Namun, Apple tidak berikan sebarang maklum balas berkaitannya.
Selain itu, usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk mengurangkan sisa elektronik adalah dengan mengarahkan pengeluar telefon tidak menyertakan kabel pengecas, perkara ini telah diikuti Apple. Namun, mereka masih tidak mahu menukar port pengecas kepada USB-C dan mendakwa penggunaan USB-C akan merencatkan inovasi.