Telefon pintar sememangnya merupakan satu keperluan harian tanpa mengira untuk kerja atau untuk kegunaan peribadi. Namun, adakalanya pengguna tidak sedar, setelah bertahun menggunakan telefon yang sama, ia sebenarnya ada menunjukkan tanda untuk anda tukar kepada telefon baru.
Kononnya ingin menggunakan telefon itu selagi ia masih bernyawa, tetapi jika tidak ditukar antara kesan yang anda akan lalui ialah, telefon akan terpadam sendiri dan anda akan susah berhubung dengan orang lain. Oleh itu, sebelum perkara seperti itu terjadi, anda perlu peka dengan tanda-tanda telefon pintar perlu diganti. Berikut merupakan 6 tanda yang anda perlu tahu:
1. Bateri cepat habis
Ketika anda mula-mula dapat telefon pintar baru, baterinya mampu bertahan satu hari dengan satu kali pengecasan penuh. Tetapi, setelah sekian lama anda gunakannya, bateri tidak dapat lagi bertahan lama meskipun anda sudah caj pada kadar 100%. Ini menjadi semakin serius jika bateri telefon anda hanya boleh bertahan selama beberapa jam sahaja selepas sekali cas.
2. Telefon sering tiba-tiba mati
Telefon anda pernah mati secara tiba-tiba? Kemudian ia hidup semula sendiri walaupun anda tidak menyentuhnya? Ini mungkin terjadi kerana masalah dari aplikasi pihak ketiga yang anda muat turun, masalah perkakas atau bateri telefon anda mula rosak. Anda boleh cuba menetapkan (reset) dan memulihkan (restore) telefon anda melalui factory setting. Jika factory reset tidak dapat mengelakkan perkara ini dari berlaku, sudah tiba masanya anda pertimbangkan untuk menukar telefon baru.
3. Aplikasi tidak stabil
Selain itu, apabila anda membuka aplikasi, ia sukar untuk melaksanakan tugasnya dengan baik. Contohnya aplikasi tiba-tiba terpadam ketika anda sedang gunakannya. Ini mungkin terjadi kerana terlalu banyak fail sampah (junk) yang perlu dibuang. Perkara ini juga adakalanya akan mengakibatkan telefon menjadi lambat. Anda mungkin boleh padam aplikasi yang tidak digunakan untuk memperbaikinya. Boleh juga cuba selesaikannya dengan factory reset seperti di atas. Sekiranya ia tidak membatu, maka masalah ini ada kaitannya dengan usia peranti anda.
4. Tak terima kemaskini
Jika telefon dah sudah tidak menerima kemaskini sistem operasi dan kemaskini keselamatan, anda disarankan untuk tukar telefon itu atas dasar keselamatan. Anda boleh semak versi sistem operasi terkini untuk memastikannya.
5. Skrin sentuh tidak bertindak balas seperti dulu
Dalam tempoh dua tahun pertama menggunakan telefon, anda mungkin akan berpuas hati dengan tindak balas yang pantas semasa anda menyentuh skrin. Tetapi lama kelamaan, skrin sentuh tidak lagi bertindak balas dengan baik. Contohnya anda swipe skrin ke kanan tetapi ia bertindak membuka aplikasi yang anda tidak mahu. Anda boleh cuba membaiki skrin untuk menyelesaikannya, tetapi kosnya agak mahal. Maka menukar telefon baharu merupakan alternatif yang lebih baik.
6. Telefon mula menunjukkan garis
Jika garisan pada paparan telefon datang secara tiba-tiba, ia merupakan gangguan kecil disebabkan oleh masalah perisian, anda boleh memperbetulkannya semula dengan cara matikan dan hidupkan kembali (restart) telefon anda. Tetapi jika garis menegak atau mendatar itu terus muncul pada skrin telefon anda sepanjang masa, ia mungkin masalah perkakas dan ini merupakan tanda jelas bahawa telefon perlu diganti.
Anda boleh tukar telefon mengikut bajet dan spesifikasi yang anda mahukan. Semuanya mengikut keperluan anda. Telefon boleh dipilih sama ada dari kelas flagship seperti Samsung Galaxy S21 Ultra, Oppo Find X3 Pro dan Mi 11 Ultra atau dari kelas pertengahan seperti Xiaomi 11 Lite 5G NE, Realme GT Master Edition atau Poco X3 GT. Anda boleh rujuk video 5 telefon terbaik di bawah ini untuk membeli telefon baru.
[Sumber: TallyPress]