Wakil Rakyat Bangi, Dr. Ong Kian Ming telah menerbitkan satu kenyataan yang mengandungi hasil rujuk silang antara fakta-fakta yang dikongsikan Menteri Pengangkutan, YB Dr. Wee Ka Siong sewaktu perdebatan beliau bersama YB Lim Guan Eng. Dr. Ong menggariskan beberapa fakta boleh mengelirukan penonton berkenaan isu kabotaj yang hangat dibincangkan dalam arena telekomunikasi negara.
Siapakah pemilik kabel dasar laut Apricot?
Sewaktu sesi debat yang disiarkan di Astro Awani, YB Menteri Pengangkutan memaklumkan yang NTT adalah entiti yang memiliki projek Apricot. Namun, fakta sebenarnya adalah, NTT adalah pemilik bersama dan bukannya pemilik tunggal.
Kabel dasar laut Apricot dimiliki satu konsortium yang terdiri daripada Google, Facebook, PLDR dari Fillipina, dan Chunghwa daripada Taiwan.
YB Wee juga memetik En. Yoshio Sato dalam utusan Facebooknya beberapa kali sebagai mewakili pihak NTT. Peliknya, En. Sato sudah tidak lagi bekerja di bawah NTT kerana dia telah meninggalkan syarikat itu untuk menubuhkan syarikat baharu di Singapura bernama Orient Link Pte. Ltd.
Sungguhpun tidaklah mengatakan fakta Yoshio Sato tidak benar, namun kedudukannya sebagai bekas kakitangan NTT tidaklah menjadikannya jurucakap NTT dan dia sepatutnya tidak langsung boleh bercakap bagi pihak NTT.
Satu lagi fakta mengelirukan adalah tentang Intra-Asia Express Cable yang dilaporkan akan mendarat di Kuching dan beberapa tempat lagi di Semenanjung Malaysia. Disebabkan ia adalah projek dibawah NTT, bagaimanakah En. Sato boleh memberi komen tentangnya kerana dia tidak lagi bekerja di bawah NTT?
Ada bau kronisme?
Dalam kenyataan beliau juga, Dr. Ong berkongsi yang Orient Link Pte. Ltd adalah syarikat usaha sama antara NTT Group, Japan ICT and Postal Services Inc. (JICT), dan WEN Capital Pte. Ltd.
Dalam salah satu kenyataan media WEN Capital, di dalamnya terkandung yang Mr. Lim Soon Foo adalah pengarah kepada syarikat itu dan dalam masa yang sama dia jugalah pengerusi eksekutif dan pengasas OMS Group.
Untuk makluman anda, OMS Group adalah syarikat yang katanya baru saja membeli kapal DP2 yang diperlukan untuk kerja-kerja selenggara/hamparan kabel dasar laut selepas pengecualian kabotaj dimansuhkan.
Kapal DP2 OMS Group tak cukup sifat?
Masih berkaitan dengan kapal DP2 milik OMS Group, nama kapal tersebut ialah Lodbrog. Dr. Ong menyatakan yang berdasarkan spesifikasi Lodbrog seperti yang dikongsikan dalam laman rasminya, ia adalah kapal jenis DYNAPOS AM/AT yang bermakna ia adalah kapal DP1.
Beliau turut berkongsikan dokumen pengkelasan kapal Dynamic Position System (DPS). Untuk kapal itu dimasukkan dalam kelas DP2, ia perlukan sistem DP2(AA) dan bukannya DP(AM). Contoh yang diberikan beliau adalah kapal ASEAN Explorer dan ASEAN Restorer. Dalam butiran spesifikasi, kapal tersebut miliki ciri-ciri DP2(AA). Untuk maklumat anda, Telekom Malaysia memiliki pegangan kepentingan sebanyak 16.7% dalam syarikat pemilik kedua-dua kapal itu.
Satu lagi pemerhatian yang dikongsikan Dr. Ong adalah Dr. Wee menyatakan yang sebanyak 12 lesen perkapalan berkaitan selenggara kabel dasar laut telah diluluskan sejak 11 November 2020.
Kalau kapal Lodbrog ada ciri DP2 seperti yang dinyatakan, kenapa sehingga ada 12 lesen diluluskan untuk kapal luar masuk ke Malaysia?
[Sumber: @imokman]