Flagship siri Xiaomi 12 dan 12 Pro akan dilancarkan minggu depan. Ia adalah antara yang pertama memperagakan SoC Snapdragon 8 Gen 1 jadi anda boleh jangkakan prestasinya adalah dalam kelompok terbaik untuk tahun 2022 nanti. Menjelang hari pelancarannya, sedikit demi sedikit maklumat berkaitannya membanjiri ruangan maya dan yang terbaharu adalah rekaannya.
Xiaomi 12 adalah versi kompak dalam kalangan yang akan dilancarkan. Melalui gambar yang dikongsikan, paparan Mi 12 adalah sebesar 6.28”. Lebih tinggi tapi lebih kurus berbanding sebuah iPhone 13, jadi ia lebih mudah digenggam berbanding telefon pesaingnya itu.
Juga daripada gambar, kelihatan kamera utamanya menggunakan sensor 50MP. Bilangan megapikselnya adalah lebih rendah berbanding 108MP pada generasi sebelum ini. Namun kami jangkakan yang ia gunakan sensor lebih besar berdasarkan saiz lensa yang lebih besar. Antara manfaat penggunaan sensor yang lebih besar adalah prestasi dalam gelap yang lebih baik dan ketajaman lebih tinggi dek saiz piksel individu yang lebih besar.
Selain penggunaan sensor baharu, kelihatan juga kemasan kulit sentetik ditawarkan. Ia adalah satu penawaran yang segar kerana sebelum ini kebanyakkan siri Mi menggunakan kemasan seramik dan kaca.
Xiaomi 12 katanya akan dilengkapi papan utama paling padat dalam kategori 5G kerana ia menggunakan teknologi papan berlapis dan penyejuknya miliki 2600m2 ruang penyejuk. Tidak ketinggalan juga bateri berkepadatan paling tinggi dan teknologi pengecasan pantas.
Setakat ini cuma gambar Mi 12 sahaja yang ada dan bukannya Mi 12 Pro. Tapi tak lama lagi adalah tu. Xiaomi 12 dijadualkan diperkenalkan di China pada 28 Disember 2021 pada jam 7:30 petang.
Sumber: @evleaks