Untuk memastikan laptop dapat bekerja secara optimum, salah satu perkara yang anda perlu ambil berat ialah cara anda matikannya apabila tidak lagi digunakan. Mana satu pilihan yang selalu anda lakukan, biarkannya kekal dalam mod tidur (sleep mode) atau terus matikannya (shut down)?
Mod tidur (Sleep mode)
Ketika mod tidur aktif, skrin laptop akan bertukar gelap. Ketika itu, laptop anda akan menggunakan sedikit kuasa sahaja. Apa sahaja yang sedang bekerja di laptop pada ketika itu contohnya laman web dan dokumen yang terbuka akan disimpan di RAM (Random Access Memory). Oleh itu apabila anda hidupkan kembali komputer dari mod tidur, ia hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk bawa anda semula ke desktop.
Dalam mod ini, hanya RAM laptop sahaja yang menggunakan bateri manakala pemproses, cakera keras dan komponen lain dimatikan untuk menjimatkan bateri. Anda tidak perlu bimbang jika kerja yang sedang anda lakukan itu hilang akibat kehabisan bateri, kerana Windows dan macOS secara automatik akan simpan semua kerja anda dan matikan laptop jika bateri terlalu sikit.
Untuk hidupkan mod tidur, anda hanya perlu tekan butang kuasa pada komputer riba atau tutup skrin laptop. Untuk hidupkan laptop kembali, anda boleh lakukan sama ada tekan semula butang kuasa padanya, tekan sebarang kekunci pada papan kekunci, klik butang pada pad sentuh atau buka skrin pada laptop.
Matikan laptop (Shut down)
Ketika matikan laptop, semua program serta sistem pengendalian akan ditutup dan semua memori dikosongkan. Jika laptop tidak dimatikan setelah seharian digunakan, anda mungkin akan berdepan dengan kesilapan blue screen of death (BSoD).
Namun, apabila ingin hidupkan laptop semula, ia akan mengambil masa sehingga seminit atau lebih untuk bootup. Selain itu, matikan laptop tidaklah menjimatkan banyak tenaga, realitinya ia menjimatkan satu atau dua watt sahaja berbanding meletakkannya dalam mod tidur.
Mana satu pilihan yang terbaik untuk laptop?
Anda boleh pilih antara mod tidur atau matikan laptop mengikut situasi. Kedua-duanya baik untuk laptop anda. Jika anda ingin berhenti seketika menggunakan laptop dan akan sambung kembali, contohnya kerana ingin keluar makan, sebaiknya biarkan ia dalam mod tidur. Boleh juga letakkan ia dalam mod tidur semalaman jika anda rancang untuk gunakannya semula pada waktu pagi.
Oleh kerana beberapa komponen seperti panel LCD, bateri dan cakera keras mempunyai kitaran hayat yang terhad, maka membiarkan laptop tidur apabila tidak digunakan, akan memanjangkan hayat komponen.
Pilihan untuk mematikan laptop boleh dilakukan apabila anda telah selesaikan kerja dan tidak memerlukan laptop untuk tempoh yang lebih lama, contohnya pada cuti hujung minggu. Ia juga bagus dilakukan jika anda tidak mematikannya selama beberapa hari. Semakin lama komputer dihidupkan, lebih banyak program, aplikasi dan kerja di latar belakang akan dijalankan.
Dengan mematikan laptop, perkara itu akan ditetapkan semula (reset). Ia penting kerana program yang sentiasa bekerja cenderung untuk memperlahankan laptop. Mematikannya sekali atau dua kali seminggu akan mengosongkan RAM laptop dan ia akan membebaskan memori serta kuasa pemprosesan.
[Sumber: Makeuseof]