OpenSignal, penganalisa internet mudah alih dunia telah mengeluarkan laporan terbaru mereka di mana kesediaan 5G memberi impak yang besar kepada rangkaian mudah alih di seluruh dunia. Laporan ini memfokuskan kepada 100 negara, memberi petunjuk bahawa negara yang lebih awal membangunkan rangkaian 5G menikmati pengalaman internet mudah alih jauh lebih baik berbanding era 4G sahaja.
Di Asia Tenggara, Malaysia sebelum ini terletak di kedudukan lebih tinggi daripada yang lain untuk purata kelajuan muat turun, berbanding negara lain di rantau ini. Tetapi perkara ini berubah menjelang hujung tahun 2021. Dengan ketibaan 5G, negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, menunjukkan peningkatan mendadak dan meninggalkan Malaysia dalam purata kelajuan muat turun.
Laporan OpenSignal menyatakan, “Pengalaman untuk pengguna mudah alih di negara-negara ini (Thailand, Indonesia dan Filipina) ketinggalan berbanding Malaysia pada 2019, tetapi telah menikmati peningkatan yang ketara dalam tempoh dua setengah tahun yang lalu (sebahagiannya disebabkan oleh penyediaan dan pengenalan 5G), manakala pengalaman muat turun pengguna Malaysia hanya bertambah baik dengan perlahan dalam tempoh yang sama mengikut data yang dikumpul oleh Opensignal.”
Pada suku pertama 2019, Malaysia mencatatkan purata kelajuan muat turun 11.5Mbps dan meningkat kepada 13.5Mbps pada suku keempat 2021. Tetapi dalam tempoh yang sama, Indonesia menunjukkan peningkatan dari 6.9Mbps kepada 14.4Mbps, dan Filipina naik hampir dua kali ganda dari 8.0Mbps kepada 15.1Mbps. Di Thailand pula, mereka memiliki purata separuh berbanding Malaysia dahulu iaitu 5.7Mbps tetapi naik tiga kali ganda kepada 17.4Mbps selepas rangkaian 5G dibangunkan.
Singapura kekal sebagai peneraju di rantau ini dengan kelajuan 49.9Mbps manakala Vietnam di tempat kedua pada 25.5Mbps. Apa yang berbeza adalah, kedudukan Singapura sebenarnya jatuh dari tempat ke-5 dunia pada awal 2019, kepada tempat ke-9 di akhir 2021. Menurut OpenSignal, ini terjadi akibat kekurangan kapasiti spektrum wayarles untuk 5G di Singapura.
Korea Selatan masih menduduk tangga pertama kelajuan internet dunia, dengan purata kelajuan muat turun 129.7Mbps, diikuti Norwat di tempat kedua dengan 78.1Mbps dan Belanda di tangga ketiga, 76.5Mbps.
OpenSignal juga mendapati bahawa negara yang telah melancarkan rangkaian 5G yang agak meluas menikmati pengalaman bermain permainan video yang lebih baik. Tetapi OpenSignal juga melihat peningkatan pada pengalaman pengguna yang sama di negara tanpa 5G, seperti Malaysia yang menerima markah 61.9 daripada 100, menduduki tangga ke-49 daripada 100 negara pada suku ke-4 2021.
Tambah OpenSignal, tidak semua naik taraf 5G menjanjikan pengalaman lebih baik. Ini kerana perubahan rangkaian 2G ke 3G, dan 3G ke 4G sebelum ini, penyedia perkhidmatan hanya perlu membangunkan perkhidmatan rangkaian baru pada spektrum yang sama, untuk melihat peningkatan dalam penggunaan data dan kelajuan. Untuk 5G, hanya sedikit naik taraf apabila 5G menggunakan spektrum 4G yang sama. Peningkatan lebih besar boleh dilihat jika 5G menggunakan jalur spektrum lebih tinggi iaitu 3-6Ghz, yang menawarkan kapasiti jalur lebar lebih tinggi untuk mencapai kelajuan gigabit.
Selain itu, naik taraf ke 5G bukan sahaja menguntungkan pengguna peranti 5G, tetapi memberi faedah kepada pengguna 4G juga. Kebanyakan penyedia perkhidmatan akan menaik taraf sambungan antara tapak pemancar mudah alih dan rangkaian utama mereka, yang dikongsi oleh rangkaian 4G dan 5G. Dengan lebih banyak tapak dinaik taraf ke fiber, pengguna 4G akan turut menikmati peningkatan pengalaman internet mudah alih mereka. Laporan penuh OpenSignal boleh dibaca di sini.
5G di Malaysia
Buat masa ini, hanya Yes menawarkan perkhidmatan 5G menerusi rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB). TM sebelum ini telah bersetuju untuk menyertai ujian 5G DNB tetapi masih belum memulakannya sehingga sekarang. Setakat ini, iputan 5G DNB sangat terhad, meliputi beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Putrajaya. Menambah kekangan ini adalah peranti 5G Samsung dan iPhone, masih tidak boleh berhubung kepada rangkaian 5G DNB. Hanya peranti keluaran syarikat China yang boleh menggunakan 5G di Malaysia.
Bagaimanapun, Malaysia masih belum mencapai keputusan muktamad untuk mengekalkan DNB sebagai penyedia borang tunggal (SWN) 5G. Ada laporan sebelum ini mengatakan bahawa empat syarikat telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile, mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan konsortium rangkaian 5G kedua yang disertai mereka dan beroperasi di samping DNB. Model dua rangkaian ini akan mempercepatkan lagi pembangunan awal 5G dan memberi manfaat kepada negara menerusi persaingan dua penyedia perkhidmatan.
Malaysia pada awalnya merancang untuk melancarkan perkhidmatan 5G pada suku ketiga 2020, tetapi pertukaran kerajaan menghentikan usaha ini. Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia selepas itu, Saifuddin Abdullah mengatakan bahawa 5G akan dilaksanakan di Malaysia pada akhir tahun 2022 atau awal tahun 2023. 5G kembali menyinar di Malaysia apabila Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin melancarkan MyDigital pada Februari 2021 dan mensasarkan pembangunan 5G pada suku keempat 2021 menerusi syarikat tunggal berkaitan kerajaan, kini dikenali sebagai DNB.
Bacaan berkaitan
- Kenapa Samsung Galaxy dan iPhone tidak boleh guna 5G di Malaysia? Ini jawapan DNB
- CEO DNB jawab 15 persoalan Ahli Parlimen Bangi tentang pembangunan 5G Di Malaysia
- Senarai penuh peranti 5G yang menyokong rangkaian 5G DNB, iPhone dijangka tahun hadapan
- DNB lancar 5G di Malaysia, Yes jadi penyedia 5G pertamaCelcom, Digi, Maxis & U Mobile mahu kerajaan wujud syarikat 5G kedua