Bertempat di Kota Larangan di Beijing, Xiaomi hari ini melancarkan telefon pintar nirbingkai terbaru mereka, Mi MIX 3. Siri MIX boleh dikatakan pelopor kepada telefon nirbingkai dan kini ia terus menonjolkan diri sebagai peneraju skrin tanpa takuk.
Jika sebelum ini kamera hadapan Mi MIX dan Mi MIX 2 terletak di bawah skrin, kali ini di Mi MIX 3 ia hilang sama sekali. Ini kerana kamera ini disorokkan di belakang skrin dan dikeluarkan bila mahu digunakan. Bunyi konsep ini seperti OPPO Find X dan vivo NEX, tetapi caranya berbeza.
Jika OPPO Find X dan vivo NEX memiliki mekanisma automatik untuk mengeluarkan dan memasukkan kembali kamera ke belakang skrin, Mi MIX 3 memerlukan pengguna menggelungsurkan sendiri skrin untuk mengeluarkan kamera. Seluruh skrin perlu digerakkan.
Perkara ini sebenarnya telah lama digunakan oleh telefon mudah alih dulu kala. Bezanya dulu skrin ditolak ke atas untuk akses ke papan kekunci, di Mi MIX 3 skrin ditolak ke bawah untuk akses ke kamera depan. Tambah Xiaomi, cara ini telah diuji ketahanannya dengan kitaran hidup sekitar 300,000 kali gelungsur.
Dengan cara ini, Xiaomi berjaya mencipta Mi MIX 3 dengan bingkai paling nipis. Nisbah skrin ke badan setinggi 93.4%.
Kini kita pergi ke bahagian teknikal. Skrin nirbingkai Mi MIX 3 seluas 6.39-inci HD Penuh+, menggunakan paparan AMOLED Samsung dalam nisbah 19.5:9. Pengguna boleh menetapkan arahan tertentu seperti melancarkan kamera atau menjawab panggilan, apabila skrin ditolak.
Mi MIX 3 dilengkapi pemproses Snapdragon 845 dengan RAM dari 6GB, 8GB sehingga 10GB. Storan dalaman pula ditawarkan antara 128GB dan 256GB.
KEMASKINI: Laman web Mi China menyenaraikan Mi MIX 3 memiliki bateri 3,200mAh.
Agak pelik apabila Xiaomi tidak menyatakan kapasiti bateri. Tetapi dimaklumkan Mi MIX 3 menyokong pengecasan wayarles pantas sehingga 10W. Lebih baik lagi, pengecas wayarles ini disertakan di dalam semua model Mi MIX 3.
Kamera Mi MIX 3 dikatakan antara terbaik kini dengan jumlah markah 103 oleh DxOMark. Ia setanding dengan Galaxy Note9 dan di bawah iPhone XS Max serta Huawei P20 Pro sahaja.
Untuk kamera belakang, ia memiliki dwi-lensa 12MP dengan saiz piksel sebesar 1.4-mikron, autofokus dwi-piksel yang sangat pantas, serta penstabil imej optikal (OIS). Kali ini ia dilengkapi fungsi Night Shot Handheld, di mana tangkapan waktu malam menggunakan tangan boleh diambil tanpa gegaran. Ia sama seperti yang terdapat di Huawei P20 Pro.
Bagi kamera hadapan, ia adalah dwi-lensa 24MP+2MP dengan kuasa Super Pixel 1.8-mikron, untuk tangkapan swafoto yang lebih cerah di waktu malam.
Memang canggih sangat Mi MIX 3 ini, tetapi ia dilihat sedikit ketinggalan apabila menggunakan pengimbas cap jari fizikal di belakang telefon. Kalau menggunakan pengimbas cap jari di dalam skrin, mesti lebih menarik.
Mi MIX 3 ditawarkan dalam tiga jenis warna: Hijau, Biru dan Hitam serta satu Edisi Khas Kota Larangan berwarna Biru. Harga jualannya di China pula adalah seperti berikut:
- Mi MIX 3 RAM 6GB + Storan 128GB: RMB3,299 (~RM1,979)
- Mi MIX 3 RAM 8GB + Storan 128GB: RMB3,599 (~RM2,158)
- Mi MIX 3 RAM 8GB + Storan 256GB: RMB3,999 (~RM2,398)
- Edisi Khas Kota Larangan
Mi MIX 3 RAM 10GB + Storan 256GB: RMB4,999 (~RM2,998)
Satu lagi model Mi MIX 3 turut diumumkan akan berada di pasaran pada awal tahun 2019. Ia adalah Mi MIX 3 5G, yang menyokong rangkaian 5G yang lebih pantas. Tiada maklumat lain dimaklumkan tentang model ini.
Mi MIX 3 dilihat menyelesaikan masalah kamera hadapan dengan lebih berkesan, tanpa memerlukan takuk. Pengecas wayarles yang disertakan juga pasti menarik lebih banyak minat.
Perkara lebih penting lagi adalah bilakah ketibaannya di Malaysia? Mi MIX 2 yang lepas mula dijual di Malaysia hampir tiga bulan selepas dilancarkan di China. Boleh tak Xiaomi Malaysia jadikannya lebih cepat?
[Sumber: Blog Mi, Forum MIUI]