Kamera Mi 8 Explorer Edition terima kemaskini Google Night Sight

Xiaomi nampaknya akan menyertai gelombang kamera tangkapan malap yang hebat seperti Night Sight di Google Pixel 3, atau Night Mode di Huawei P20 Pro. Perkara ini ditemui dalam kemas kini sistem operasi MIUI terbaru, yang diterima oleh Mi 8 Explorer Edition.

Di China, Xiaomi telah mengeluarkan kemaskini MIUI 10 untuk Mi 8 Explorer Edition, berasaskan Android 9 Pie. Kemaskini tersebut sebesar 2.1GB dengan nombor binaan MIUI v10.1.2.0 PEACNFI, membawakan beberapa pembaharuan.

Dengan Android 9 Pie, ia akan memaparkan skrin bertakuk secara natif, menjadikan rupa aplikasi dan sistem lebih kemas dengan takuk di skrin. Pie juga menjadikan sistem lebih efisyen, termasuk memasang aplikasi dengan lebih cepat.

Di bahagian kamera, kemaskini baru ini membolehkan ia merakam video super gerak perlahan, sehingga 960 bingkai sesaat (FPS). Kamera ini juga akan dilengkapi mod Super Night Scene, fungsi yang dikatakan menjadikan tangkapan malap lebih cerah, seperti Night Sight di Google Pixel 3.

Caranya, apabila butang tangkap gambar ditekan, ia akan mengambil 8 gambar dengan pendedahan (exposure) berbeza. Kemudian, 8 gambar tadi digabungkan dan diproses untuk menjadi satu gambar Super Night Scene yang cerah dan jelas. Itu apa yang dimaklumkan di dalam log kemaskini.

Buat masa ini, kemaskini ini hanya terdapat di Mi 8 Explorer Edition di China sahaja. Tetapi ia pasti boleh diterapkan dengan mudah untuk model telefon yang sama di pasaran antarabangsa, Mi 8 Pro sekurang-kurangnya.

Kami jangka, Super Night Scene ini akan terdapat di kemaskini telefon pintar Xiaomi yang lain memandangkan ia adalah fungsi yang boleh ditambah secara perisian, bukan perkakas. Ini sama seperti fungsi Huawei Night Mode yang pertama kali diperkenal di P20 Pro, tetapi kemudiannya terdapat di telefon pintar lebih murah seperti nova 3i.

BACA  Celcom gandakan data perayauan musim cuti hujung tahun

Kehebatan Google Night Sight dan Huawei Night Mode memang jelas kelihatan berbeza dari tangkapan gambar biasa. Kami telah mengujinya sendiri dan berkongsi dapatannya di sini. Adakah Xiaomi juga berjaya mencapai tahap seperti ini? Kita tunggu kemaskini tersebut diperluaskan ke model yang lain.

[Sumber: GizChina]

Share