fbpx

Honor pengeluar pertama perkenal skrin berlubang dan kamera 48MP

Sedang Samsung dan Huawei bersiap untuk melancarkan telefon pintar dengan skrin nirbingkai berlubang tidak lama lagi, Honor diam-diam hari ini memperkenalkan satu model telefon pintar baharu, Honor View 20 atau dikenali sebagai V20 di China. Ia diperkenalkan dalam satu majlis previu di Hong Kong.

Secara rasminya, Honor menyatakan View 20 adalah telefon pintar pertama dengan skrin nirbingkai berlubang, atau digelar oleh Honor, All-View Display. Mereka menjelaskan, lubang ini lebih kecil, berdiameter 4.5mm berbanding 6mm di jenama lain. Mungkin merujuk kepada Galaxy A8s yang akan dilancar esok, atau Huwei nova 4 yang akan dilancar minggu hadapan.

Gambar oleh engadget

Honor juga akan berlumba dengan Xiaomi untuk melancarkan kamera 48MP di telefon. View 20 akan menggunakan sensor Sony IMX586 dengan resolusi 48MP di kamera belakang. Dengan bantuan dwi-pemproses neural (NPU) di cip Kirin 980, ia akan banyak membantu AI untuk memproses gambar tangkapan V20 menjadi lebih baik.

Bagaimanapun, saiz piksel yang kecil iaitu 0.8-mikron menjadikan ia sukar untuk menangkap lebih cahaya dan menjadikan gambar lebih cerah. Untuk itu, ia menggunakan teknologi gabungan piksel yang disebut pixel-binning, yang mencantum 4-piksel tadi kepada satu piksel besar bersaiz 1.6-mikron dengan resolusi 12MP.

Honor turut berkongsi sampel gambar yang diambil menggunakan Honor View 20, seperti gambar di bawah ini. Gambar asal bersaiz penuh boleh dimuat turun di sini.

Akhir sekali Honor mengumumkan teknologi Link Turbo di View 20. Ia membolehkan peranti menggunakan kedua-dua rangkaian WiFi dan LTE sekaligus, untuk muat turun lebih pantas. Ini sebenarnya bukan perkara baru kerana Samsung telah memilikinya sejak Galaxy S5, dipanggil sebagai Download Booster.

Selain ini, Honor View 20 akan menggunakan kuasa Kirin 980 sebagai penggerak utamanya. Peranti demo yang disediakan di acara tersebut, dikatakan menggunakan kamera hadapan 25MP. Tetapi ia tidak dinyatakan secara rasmi, mungkin akan berubah apabila dijual nanti.

BACA  Redmi 8 dan Redmi 8A muncul dengan fungsi flagship pada harga terendah

Honor View 20 akan dilancarkan di Beijing, China pada 26 Disember 2018. Pelancaran peringkat antarabangsa pula akan diadakan di Paris, Perancis pada 22 Januari 2019. Kita tunggu 26 Disember untuk maklumat lanjut tentang Honor View 20.

[Sumber: Engadget, TechRadar]