fbpx

Kamera 48MP dan skrin berlubang tawaran terbaru Huawei Nova 4

Selepas cubaan mensabotaj Samsung Galaxy A8s gagal, Huawei hari ini dengan jayanya melancarkan versi telefon pintar dengan skrin berlubang mereka, Huawei Nova 4. Malah, terdapat dua model Huawei Nova 4 yang diperkenalkan dalam majlis pelancarannya di China.

Tarikan Huawei Nova 4 sudah pastilah skrin nirbingkai berlubang yang pertama kali digunakan oleh Huawei di peranti keluarannya. Skrin ini berukuran 6.4-inci HD Penuh+ (2310×1080), dengan bingkai sedikit tebal di dagu.

Walaupun ia model yang baru, Huawei masih menggunakan cip Kirin 970 pada Nova 4, bukannya cip terbaru Kirin 980 seperti yang terdapat di Mate 20. Bagaimanapun, RAM-nya ditambah besar ke 8GB dengan storan dalaman kekal 128GB.

Bagi kamera, Nova 4 kini dilengkapi tiga lensa kamera belakang, dan satu lensa kamera hadapan. Tiga lensa belakang ialah gabungan lensa utama 48MP F1.8, lensa ultra lebar 16MP F2.2 dan lensa pengesan kedalaman 2MP F2.4. Bagi kamera hadapan, ia dipasang lensa 25MP yang terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.

Rupa-rupanya, terdapat dua model Nova 4 yang dilancarkan hari ini. Perbezaannya hanyalah pada kamera belakang. Berbanding lensa utama 48MP, model kedua Nova 4 menggunakan lensa utama yang lebih rendah, 20MP sahaja. Lain-lain spesifikasi adalah sama antara kedua-duanya.

Kuasa Nova 4 disumbang oleh bateri 3,750mAh yang dicas menggunakan pengecas pantas 9V2A, melalui port USB-C. Ia turut memiliki pengimbas capjari yang terletak di belakang, dan masih mengekalkan jek audio 3.5mm untuk sambungan fon kepala berwayar.

Huawei memasang sistem operasi terbaru, EMUI 9.0.1 berasaskan Android 9.0 Pie pada Nova 4 ini. Terdapat empat warna Nova 4 yang diperkenalkan di majlis pelancaran ini iaitu warna rata Hitam dan Putih. Manakala dua warna lagi menerima efek gradient iaitu Biru/Ungu dan Merah/Biru.

BACA  Perbandingan Kamera: Huawei Mate 30 Pro vs. Huawei Mate 20 Pro

Huawei Nova 4 akan dijual di China pada harga RMB3,399 (~RM2,058) yang datang dengan kamera 48MP, manakala versi kamera 20MP pula berharga RMB3,099 (~RM1,876). Belum ada maklumat tentang kedatangannya di Malaysia, tetapi melihatkan popularitinya, ia berpeluang besar akan dipasarkan secara rasmi di sini.