Honor berjaya menjadi yang pertama di Malaysia menjual telefon pintar dengan skrin berlubang, menerusi View 20. Walaupun Huawei melancarkan Nova 4 terlebih dahulu, ia hanya akan mula dijual pada 14 Februari 2019.
Honor View 20 mula dijual di Malaysia pada 26 Januari 2019, dengan harga bermula dari RM1,999 untuk storan 128GB dan RM2,499 bagi storan 256GB. Jika anda masih berfikir untuk memiliki Honor View 20, baca dahulu pandangan awal kami ini.
Prestasi Tertinggi
Memang betul, memang benar. Honor View 20 adalah telefon pintar kelas flagship berkuasa tinggi. Apakan tidak, ia adalah peranti Honor yang pertama dipasang cip kirin 980. RAM dan storan pun besar. Boleh pilih antara RAM 6GB dan storan 128GB, atau RAM 8GB dan storan 256GB. Spesifikasi yang menyamai siri Huawei Mate 20 yang dijual dengan harga bermula dari RM2,799 semasa pelancarannya tahun lepas.
Prestasi memang terbaik. Main PUBG pun boleh pilih resolusi tertinggi. Sepanjang permainan lancar dan grafik nampak cantik je dengan pemandangan jauh. Bukannya latar hijau macam di telefon berprestasi rendah.
Skrin Nirbingkai Berlubang
Tetapi View 20 datang dengan skrin berlubang, pertama seumpamanya di Honor. Ia bukanlah yang terawal kerana samsung dah pun melancarkan Galaxy A8s dan Huawei pula dengan Nova 4. Cuma dua telefon ini telah dilancarkan di China, manakala Honor View 20 jadi yang pertama di jual di Malaysia, untuk telefon dengan skrin berlubang.
Pertama kali menghidupkan telefon ini rasa pelik dengan lubang di atas skrin. Tambah teruja bila dapat dirasakan skrin ni lebih besar dari Huawei Mate 20 Pro yang dah gunakan hampir 4 bulan lepas.
Tapi sebenarnya, ukuran skrinnya sama. Cuma takuk yang agak besar di Mate 20 Pro membuatkan saya berasa skrinnya lebih kecil dari Honor View 20. Dari segi saiz skrin, saya suka dengan skrin berlubang ni dari skrin bertakuk.
Kamera 48MP dan ToF
Selepas skrin, Honor mengiklankan View 20 dengan keupayaan kamera 48MP. Untuk pengetahuan anda, kamera belakang View 20 ada dua lensa. Lensa utama dengan resolusi 48MP F1.8 manakala lensa kedua ialah lensa Time of Flight (ToF), sebuah lensa pengesan tahap kedalaman 3 Dimensi (3D).
Setelah menggunakannya beberapa ketika, kamera bukanlah bidang kekuatan View 20, apabila membandingkannya dengan Mate 20 Pro. Dengan tiga lensa iaitu lensa ultra lebar, lensa utama dan lensa teleskop, terasa Mate 20 Pro lebih praktikal digunakan.
Lensa 48MP di View 20 memang memberikan gambar beresolusi tinggi. Ini membolehkanyya memberi fungsi zum secara digital, dengan cara mengorbankan resolusi. Semakin tinggi zum, semakin rendah resolusi. Bagaimanapun, zum digital ini tidak dapat melawan lensa ultra lebar dan lensa telefoto yang digunakan di Mate 20 Pro.
Manakala lensa ToF pula, tidak digunakan semasa mengambil gambar. Ia adalah lensa yang boleh mengesan pergerakan secara 3D, yang lebih sesuai digunakan untuk bermain game masa nyata, atau aplikasi realiti maya yang menyokongnya. Pendek kata, ia jarang digunakan oleh orang biasa.
Kamera hadapan 25MP susah nak komen. Sebab saya bukan kaki swafoto. Tetapi nak banding dengan geng lain yang guna iPhone X, nampak kamera selfie View 20 ni jauh lebih cerah, lagi-lagi ambil gambar waktu malam.
Tenaga Sepanjang Hari
Kalau nak kata benda paling best kat View 20 ni, ialah baterinya. Bateri dia 4,000mAh, dan menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge generasi pertama dengan 22.5Watt. Cas dari 3% ke 100% ambil masa 1 jam 30 minit je. Tapi ia boleh digunakan untuk masa panjang.
Pertama kali guna boleh dapat lebih 6 jam masa hidup skrin, walaupun main PUBG banyak kali. Kalau lepas cas penuh 100% pula, main 3 round penuh PUBG, bateri turun 15% sahaja. Saya yakin ia boleh bertahan lebih sehari untuk penggunaan biasa.
Lain-lain kelebihan yang ada di View 20 ni seperti masih ada jek audio 3.5mm, ada pemancar infra merah untuk kawalan jauh, dan pengimbas capjari fizikal di belakang. Sebab saya tak suka betul dengan pengimbas capjari dalam skrin di Mate 20 Pro. Lembab dan selalu gagal mengecam cap jari saya.
Peranti Flagship Premium?
Tetapi sebagai peranti kelas flagship, View 20 masih jauh dari tahap premium teratas. Ini kerana ia tidak kalis air, tiada pengecas wayarles, tiada speaker stereo, malah ia juga tidak boleh dimasukkan kad mikroSD untuk storan tambahan. Mungkin fungsi ini jarang digunakan pengguna biasa, tetapi ia menunjukkan hanya peranti premium teratas memiliki ciri-ciri premium eksklusif sebegini.
Bagaimanapun saya faham, dengan harga yang jauh lebih rendah, maka ia perlu mengorbankan fungsi premium ini. Untuk RAM dan storan yang sama, View 20 berharga RM1,500 lebih murah dari Mate 20 Pro yang memiliki segala ciri premium yang disebutkan tadi. Jadi, tak apalah kan. Nak lebih kenalah bayar lebih.
Dengan View 20, Honor boleh dikatakan telah menghasilkan pembunuh peranti flagship, menggantikan tempat OnePlus yang kini sama mahal macam peranti flagship premium.
Jika anda mahu cuba sesuatu yang baru seperti skrin berlubang dan kamera 48MP, maka ia adalah pelaburan yang berbaloi. Pada harganya, ia mungkin boleh dibandingkan dengan Mate 20 bukan pro, yang juga kehilangan banyak ciri premium dari versi Pro. Kelebihannya dari honor view 20, hanyalah kamera leica tiga lensa di belakang. Selain ini, View 20 tampak lebih menarik.
Dengan harga RM1,999 untuk RAM 6GB dan storan 128GB, View 20 adalah peranti yang menarik dengan beberapa ciri-ciri terbaru. Malah, pada harga RM2,499 untuk RAM 8GB dan storan 256GB, ia adalah peranti yang termurah di pasaran kini.
Jika kamera paling penting, View 20 bukanlah pilihan terbaik pada harganya. Tetapi mahukan prestasi tertinggi, bersama storan besar dengan skrin nirbingkai tanpa takuk, saya syorkan View 20. Apa pula pendapat anda?
Untuk ulasan dalam bentuk video, boleh tontonnya di bawah ini: