LUMIX S1R Sertai Parti Full Frame Dengan Sensor 47.3MP

Diumumkan pembangunannya di Fotokina sekitar September 2018 yang lalu, Panasonic kini melancarkan dua model kamera mirrorless pertama mereka yang menggunakan format full frame iaitu LUMIX S1 dan LUMIX S1R. Produk ini membuka satu lembaran baru dalam siri Lumix kerana selama ini, mereka berada dalam keluarga MicroFourThirds (MFT) bersama-sama Olympus.

Daripada sudut fizikaliti, S1R dan S1 adalah sama. Mereka nyata lebih besar daripada flagship GH5 dan tidak menghairankan sekiranya sedikit lebih berat. Oleh sebab menggunakan format baru, ia tidak lagi padan dengan lensa MFT sebaliknya hadir dengan kaki lensa L-mount.

L Mount Alliance adalah satu pertubuhan yang dianggotai Panasonic, Samyang, dan Leica. Ia bertujuan untuk menyokong kaki lensa L dengan cara memastikan semua lensa, tidak kira dari mana-mana kalangan mereka, boleh digunakan pada badan kamera berkaki L.

Ia sama seperti Panasonic dengan Olympus dalam gerakan MFT dulu.

Daripada spesifikasi teknikal, LUMIX S1R ada sensor CMOS 47.3MP manakala saudaranya S1 ada 24.2MP. Kedua-duanya boleh merakam video 4K sehingga 60fps tapi akan berlaku crop pada video. Untuk gerak perlahan, anda boleh beroleh video sehingga 150fps pada resolusi HD Penuh. In Body Stabilisation (IBIS) tetap hadir dengan keupayaan pensabilan sehingga 6 stop berbanding E-M1X 7 stop.

Keupayaan tangkapan selanjar kedua-dua kamera adalah pada 9 bingkai sesaat. Port I/O yang boleh ditemui pada badan kamera adalah seperti

  • USB-C dengan sokongan PD
  • HDMI Penuh
  • jek mikrofon 2.5mm
  • jek headfon 3.5mm
  • 1 slot XQD
  • 1 slot SD

EVF pada LUMIX S juga haru diberi pujian. Ia ada paparan hampir 6MP dengan panel OLED untuk jadikannya antara yang terbaik dalam pasaran setakat ini. Untuk perbandingan, Olympus E-M1X yang kami hands-on minggu sudah hanya ada paparan EVF skitar 3MP sahaja.

BACA  Huawei Y7 Pro datang dengan bateri besar dan harga kecil

Menguasakan kamera-kamera ini adalah abteri berkapasiti 3,050mAh. Menurut piawaian CIPA, ia memberikan sehingga 380 gambar dengan satu bateri penuh. LUMIX S1 dan S1R akan mula dijual di US bermula April 2019 pada harga seperti berikut:

  • LUMIX S1 – USD 2,499
  • LUMIX S1 + 24-105mm F4 – USD 3,399
  • LUMIX S1R – USD 3,699
  • LUMIX S1R + 24-105mm F4 – USD 4,599

[Sumber: Panasonic]